
Laporan/foto: Hazlinah Samsir/Volintine Jiloh (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 21 Okt (Malaysiaaktif) – Warga Jabatan Penerangan Sabah (JaPen) diminta agar memantapkan lagi disiplin diri dalam menjadikan prestasi JaPen lebih cemerlang.
Pengarah Penerangan Sabah, Norzawiyah Bulka berkata cara kerja yang terancang dan teratur antara perubahan yang perlu dilakukan dalam meningkatkan mutu kerja warga JaPen.
“Selain itu, disiplin diri, integriti dan juga pengurusan masa yang berkesan perlu menjadi amalan setiap kakitangan dalam menjalankan tugas sebagai penjawat awam.
“Melalui perubahan positif tersebut, tanggung jawab serta amanah yang dipikul dapat disempurnakan dengan efektif dan efisien,” katanya dalam Perhimpunan Bulanan JaPen Bilangan 2, 2019 di Wisma Dang Bandang, pada Isnin.

Pegawai Siasatan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Garit Laga menyampaikan ceramah bertajuk ‘Integriti Dalam Jabatan’.
Dalam pada itu, Norzawiyah turut menggalakkan pegawai atasan agar menjadi pemimpin yang mampu menjadi teladan kepada kakitangan di bawah kawal selia mereka.
“Berbanding menjadi pemberi arahan semata, seorang pemimpin harus mampu memberikan dorongan dan tunjuk ajar dalam melakukan sesuatu tugas.
“Kepimpinan melalui teladan perlu diterapkan dalam membina suasana kerja yang merangsang perkembangan setiap warga JaPen,” katanya lagi.
Selain mendengar amanat pengarah, warga JaPen juga mendengar ceramah ‘Integriti Dalam Jabatan’ yang disampaikan oleh Pegawai Siasatan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Garit Laga.
Turut berlangsung selepas perhimpunan adalah Mesyuarat Pengurusan dan Taklimat Task Force dan Pengisian Tugas.
ER