
Laporan/foto : Musliha Yusof (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 30 Dis (Malaysiaaktif) – Sempena sambutan Hari Orang Kurang Upaya (OKU) pada 3 Disember 2019 yang lalu, Yayasan Pembangunan Keluarga Negeri Darul Ta’zim dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia telah melancarkan program Jejak@Mari Golongan Sasar Orang Kurang Upaya di Dewan Taman Molek, Johor Bahru petang semalam.
Program ini merupakan usaha dalam mengukuhkan semangat kerjasama antara agensi dalam melahirkan masyarakat yang lebih sejahtera dan di samping itu, komunikasi yang berkonsepkan bersemuka sebegini juga dilihat mampu membina jalinan perkongsian bijak diantara rakan-rakan strategik di sini.
Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor, Salmah Salim mengajak seluruh masyarakat agar sentiasa peka terhadap kehadiran orang kurang upaya dan memastikan mereka mendapat hak yang sama rata.
“Jalankan tanggungjawab sosial kita, jangan sisihkan mereka kerana mereka juga manusia biasa yang memerlukan kasih sayang untuk meneruskan kehidupan,” katanya lagi.
Penceramah jemputan, Dr Ruzimi Mohamed@Mahmood, 34, yang mempunyai kekurangan fizikal sejak dilahirkan di mana tangan kirinya kudung sehingga paras siku dan kedua kakinya hanya sehingga paha tidak pernah kenal erti putus asa dalam mencapai kejayaan dan beliau berjaya menamatkan pengajian dalam jurusan Sains Komputer di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor.
“Saya tahu bahawa kejayaan bukan boleh didapati dengan mudah, oleh itu saya sentiasa optimis dalam mengejar kejayaan walaupun fizikal saya tidak sempurna, namun saya masih dikurniakan akal fikiran yang baik.
“Bagi mencetuskan semangat, saya menjadikan Allahyarham Datuk Dr Ismail Salleh sebagai idola, walaupun beliau cacat penglihatan namun kegigihan dan kesungguhannya dalam menimba ilmu telah menjadikan Allayarham sebagai salah seorang pakar ekonomi negara yang tersohor,” ujarnya.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Liow Chai Tung menyokong usaha penyebaran maklumat yang tepat berkaitan OKU kepada masyarakat tanpa sekatan atau pengaruh birokrasi.
“Saya percaya Roadshow MARI (Mesra, Aktiviti, Riadah & Informatif) yang diadakan hari ini mampu menjadi platform yang tepat dalam menyelesaikan pelbagai masalah dan isu yang timbul berkaitan OKU dikalangan masyarakat hingga ke akar umbi,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan perasmian.
“Adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai masyarakat yang inklusif untuk membantu menghapuskan apa jua bentuk halangan termasuk sikap dan persekitaran dalam memastikan golongan ini dapat menjalani kehidupan yang sama rata,” tambahnya lagi.
Salah seorang pengunjung yang ditemui, Khairul Anuar Abu Bakar, 42, gembira dengan penganjuran program ini dan beliau sentiasa mengambil peluang untuk menghadiri program sebegini kerana berasa dekat dengan masyarakat.
“Saya sentiasa menyertai progam anjuran YPKDT yang menyokong pembangunan orang kurang upaya serta banyak kebaikan yang telah saya terima seperti latihan industri dan melalui sokongan YPKDT juga, saya telah diterima bekerja di Syarikat Double A Enterprise sejak tahun 2016,” ujarnya.
Program ini telah berjaya memberi pendedahan kepada masyarakat setempat dalam menterjemahkan konsep memberi dan menerima maklumat yang jelas dan tepat.
Seramai 300 orang yang terdiri orang awam, NGO, kakitangan awam dan swasta telah hadir memeriahkan program ini.
-NI-