
Laporan/ foto: Lizza Imelia M Sulanah/ Ariza Mohd Zaki (Seberang Perai Tengah)
BUKIT MERTAJAM, 30 Dis (Malaysiaaktif) – “Golongan B40 terutamanya yang tinggal di pinggir bandar adakalanya ketinggalan dalam mendapatkan maklumat berkaitan inisiatif kerajaan yang memberi manfaat kepada golongan ini. Justeru itu, kami amat berbesar hati untuk menerima kunjungan Jabatan Penerangan Pulau Pinang melalui Pejabat Penerangan Seberang Perai Tengah (SPT) dalam memasarkan maklumat berkaitan inisiatif-inisiatif ini secara bersemuka,” jelas Pengerusi KRT Pangsapuri Taman Machang Bubuk, Addie Mat Yusof.
Program Komuniti Bersama Penduduk Pangsapuri Taman Machang Bubuk, Bukit Mertajam anjuran Pejabat Perpaduan Seberang Perai Tengah dan KRT Pangsapuri Taman Machang Bubuk telah berlangsung dengan pelbagai aktiviti yang bersesuaian dengan pelbagai lapisan umur.
Selain aktiviti Jom Zumba dan Saringan Kesihatan oleh Klinik Kesihatan Machang Bubuk, turut diadakan ialah sesi Taklimat Ringkas Inisiatif Kerajaan kepada Golongan B40 yang disampaikan oleh Pegawai Penerangan Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Lizza Imelia M. Sulanah.
Sesi ini merupakan platform bagi Pejabat Penerangan SPT untuk lebih mengenali dan mesra dengan komuniti dan memastikan maklumat inisiatif kerajaan sampai ke akar umbi khususnya golongan B40. Topik khusus yang disampaikan adalah PEKA B40, MySalam dan Bantuan Sara Hidup yang amat dekat dengan kumpulan sasaran tersebut.
“Walaupun hebahan disosial media telah dibuat, namun komunikasi bersemuka seperti ini lebih efektif dan lebih dekat dengan masyarakat setempat. Orang ramai berpeluang untuk bertanyakan soalan dan membantu mereka untuk lebih memahami sesuatu maklumat khususnya inisiatif kerajaan,” kata Lizza Imelia dalam ucapan penutup.
Petugas PMR Mobile Pejabat Penerangan SPT atau ‘SPTZoomers’ turut mengambil peluang mengedarkan bahan penerbitan Jabatan Penerangan Malaysia untuk komuniti yang hadir.
-II-