Skip to main content
Berita TengahKuala Lumpur

Kempen Kibar Bendera Wilayah Disambut Meriah Warga Kota

By 20 Januari 2020Oktober 5th, 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Tengku Nor Liza Tengku Yahya/Parameswary Lekshmnan (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 20  Jan (Malaysiaaktif) – Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad hari ini melancarkan ‘Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutan’ sebagai ‘kick-off’ Sambutan Hari Wilayah Persekutuan ke-16 yang bakal disambut pada 1 Februari ini.

Sebanyak 29 program rasmi yang disusun dan bakal dilaksanakan bermula hari ini dan sepanjang bulan Februari 2020 oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Perbadanan Putrajaya dan Perbadanan Labuan.

Menurut Khalid, kempen ‘Kibar Bendera Wilayah Persekutuan’ selama sebulan setengah itu diadakan bertujuan menyemarakkan semangat kekitaan dan cinta akan Wilayah Persekutuan dalam kalangan warga Wilayah.

Dataran DBKL dibanjiri warga kota memeriahkan Pelancaran Kempen 'Kibar Bendera Wilayah Persekutuan'

Dataran DBKL dibanjiri warga kota bagi memeriahkan Pelancaran Kempen ‘Kibar Bendera Wilayah Persekutuan’

Katanya lagi, sambutan Hari Wilayah Persekutuan ini  bertujuan memperingati pembentukan Wilayah Persekutuan.

“Wilayah Persekutuan ini berbeza dengan negeri lain di mana ia gabungan tiga wilayah, iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan,”

“Memandangkan ketiga-tiga wilayah ini terpisah  maka amat penting untuk menanamkan semangat kekitaan dan kebersamaan dalam kalangan warga Wilayah,” jelas Khalid semalam mengenai tujuan sambutan pada kali ini selaras dengan inisiatif ‘Wilayah Peduli Harapan Dipenuhi’.

Beliau juga melahirkan harapan agar warga Wilayah Persekutuan ini berpegang kepada nilai-nilai yang sama menjadi simbol ke arah wilayah yang aman, bersatu padu dan maju.

Khalid turut memaklumkan Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan akan diadakan di Istana Melawati, Putrajaya pada 1 Februari ini.

Terdahulu, Khalid turut menyerahkan 400 bendera Wilayah Persekutuan kepada Majlis Perwakilan Penduduk (MPP), Jabatan/agensi serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang berkaitan bagi menyemarakkan kempen  pengibaran bendera Wilayah Persekutuan.

Tema Sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada tahun ini masih dikekalkan seperti tahun sebelum ini, iaitu ‘Sayangi Wilayahku’.

– AO

 

Tinggalkan komen anda