Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Hospital Awam Petaling Jaya: Selangor Sambut Baik Persetujuan Tapak KKM

By 4 hari yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Petaling)/Facebook Amirudin Shari

SHAH ALAM, 27 Mei (MalaysiaAktif) – Kerajaan Negeri Selangor menyambut baik pengumuman Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, berhubung persetujuan tapak pembinaan Hospital Awam Petaling Jaya baru-baru ini.

Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari, berkata keputusan tersebut dicapai susulan mesyuarat penyelarasan pada 14 Mei lalu melibatkan agensi persekutuan, kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan berkaitan projek berkenaan.

Katanya, pengumuman itu mencerminkan kerjasama erat antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dalam memastikan isu kesihatan awam dapat ditangani secara menyeluruh dan berkesan.

Menurutnya, usaha mengenal pasti tapak hospital awam Petaling Jaya digerakkan aktif sejak 2018 berikutan peningkatan penduduk daerah Petaling yang kini mencecah 2.3 juta orang.

Ujarnya, Petaling Jaya sahaja mencatatkan lebih 800,000 penduduk yang ketika ini bergantung kepada beberapa hospital utama sekitar Lembah Klang bagi mendapatkan rawatan kesihatan awam.

“Antara hospital terbabit ialah Hospital Sungai Buloh, Hospital Shah Alam serta Pusat Perubatan Universiti Malaya yang menampung ribuan pesakit setiap hari.

“Kerajaan negeri bersedia memudahcara dan menyegerakan segala urusan tanah supaya pembinaan Hospital Petaling Jaya dapat direalisasikan demi manfaat rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Amirudin, kerajaan negeri turut bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengatasi isu akses rawatan dan kesesakan hospital awam di seluruh negeri Selangor ketika ini.

Katanya, Hospital Cyberjaya dan Hospital Tanjong Karang yang siap dibina pada 2022 menjadi antara hasil kerjasama melibatkan urusan tanah bersama kerajaan negeri.

Selain itu, Hospital Kapar berkapasiti 312 katil dijadual siap penghujung tahun ini bagi membantu mengurangkan kesesakan di hospital utama sekitar Klang dan Shah Alam.

-AA-

Tinggalkan komen anda