
Laporan/foto: Jamilah Sulaiman Nasution (Seremban)/Muhammad Nabilsyafiq (Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan)
SEREMBAN, 22 Jan (Malaysiaaktif) – “Bagi memacu perkembangan ekonomi negeri dan negara, dua identiti perbandaran iaitu Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dan Majlis Perbandaran Nilai (MPN) diisytiharkan bergabung menjadi Majlis Bandaraya Seremban (MBS).
“Penggabungan ini akan menjadikan pengurusan pentadbiran daerah Seremban lebih cekap dan dinamik selain menyediakan perkhidmatan yang efisyen kepada semua penduduk yang tinggal di daerah ini,” ujar Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, di sini kelmarin.
Aminuddin berkata, pembentukan bandaraya Seremban ini diharapkan dapat mendepani revolusi perubahan dunia moden tanpa sempadan dan mengekalkan keindahan bandar yang bersih dan hijau.
Dengan visi ‘Bandaraya Pintar Yang Mampan, Bersih dan Berdaya Maju’, Seremban bakal memacu segala pembangunan dan ekonomi negeri dan usaha ini akan diperkukuhkan lagi dengan misi menyajikan perkhidmatan pintar yang efisien, berkualiti dan telus bagi memastikan warga bandaraya Seremban menikmati kehidupan yang selesa dan sejahtera.
Antara strategi bagi mengukuhkan pembangunan yang mampan di Seremban ialah dengan membentuk komuniti masyarakat yang berdaya saing dari pelbagai aspek.
Sementara itu, kerajaan Negeri Sembilan juga yakin dengan penubuhan MBS ini, ia akan memberikan impak positif bagi merangsang perkembangan ekonomi dan pembangunan masyakarat dengan menyentuh pelbagai aspek sekali gus mendukung dasar yang telah direncanakan oleh kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.
Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan mencemar duli mengisytiharkan Seremban sebagai bandaraya dan merasmikan Wisma MBS pada majlis tersebut.

Upacara menandatangani plak perasmian Wisma Bandaraya Seremban yang disempurnakan oleh Tuanku Muhriz.
Turut mencemar duli berangkat ke majlis berkenaan, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud bersama kedua anakanda baginda, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al´Abidin.
Hadir sama, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin serta barisan pimpinan Negeri Sembilan.
-AK