Laporan/ foto: Tengku Saipulah Tengku Mohd (Kuala Nerus)
KUALA NERUS, 22 Jan (Malaysiaaktif) – Bagi tujuan perancangan pembangunan luar bandar pada masa akan datang, sebanyak 1, 046 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) berjaya ditubuhkan di lapan Parlimen di negeri ini.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Mohd Harun berkata, setakat ini hanya 624 pengerusi telah dilantik manakala bakinya akan disemak dan dilantik untuk fasa berikutnya.
Hadir sama Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Penyelaras MPKKP Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.
Raja Kamarul Bahrin menyeru agar semua ahli MPKKP yang dilantik supaya memberikan keutamaan kepada khidmat untuk rakyat sebagai agenda utama.
“Penubuhan MPKKP sebagai mata dan telinga serta jentera Kerajaan Persekutuan di peringkat kampung adalah suatu yang sangat dinanti-nantikan. Saya berharap semua ahli MPKKP yang dilantik dapat fokus kepada khidmat untuk rakyat sebagai matlamat dan agenda utama. Biar rakyat merasai bahawa MPKKP benar-benar cakna rakyat dan berkesan dalam menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.
“Saya yakin struktur MPKKP ini dapat mempergiatkan lagi penganjuran program-program khusus yang memberi manfaat untuk komuniti setempat dan pembangunan luar bandar. MPKKP merupakan institusi yang memberi khidmat kepada semua tanpa mengira agama, bangsa mahupun politik,” tambahnya lagi.
Menurut Adam Ismail, 63, yang juga penerima watikah berkata, pelantikan ini dapat menjadi penghubung di antara rakyat luar bandar dengan kerajaan persekutuan.
Tambah beliau, dengan geran tahunan sebanyak RM10, 000 bagi melaksanakan program atau aktiviti, anggota MPKKP mampu memantapkan kerjasama dan menjalankan amanah yang diberikan secara berpasukan dan penuh tanggungjawab.
Seorang lagi penerima watikah Mohd Sabri Jusoh, 39, berkata lantikan ini sekurang-kurangnya kerajaan persekutuan mempunyai wakil dari setiap kampung bagi memudahkan penyampaian maklumat terus kepada rakyat di samping melaksanakan dasar-dasar yang telah ditetapkan.
-ii-