
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 15 Feb (Malaysiaaktif) – Jabatan Pendidikan dilihat sebagai prospek terbaik dalam membantu meningkatkan sektor pelancongan di wilayah ini.
Menurut Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli, jabatan itu memainkan peranan dalam memperkenalkan wilayah ini ke peringkat antarabangsa.
“Jabatan Pendidikan Labuan menganjurkan seminar, persidangan, lawatan silang budaya, pertandingan sukan serta aktiviti kokurikulum yang dilihat sebagai penyumbang yang membantu perkembangam industri pelancongan di wilayah ini.
“Saya berharap pada tahun 2020, pemimpin sekolah akan lebih aktif menganjurkan hubungan permuafakatan di peringkat antarabangsa ke Labuan.
“Kita percaya dengan kehadiran pelancong luar dapat membantu menjana ekonomi wilayah ini,” katanya semasa merasmikan Majlis Amanat dan Aspirasi Tahun 2020, Jabatan Pendidikan Labuan, di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Pendidikan Labuan Raisin Saidin, berkata selama tujuh tahun dari 2013 hingga 2019, Jabatan Pendidikan berjaya melalui fasa transformasi dalam pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM).
“Kita telah melalui fasa yang mencabar, khususnya daripada aspek pelaksanaan dasar pendidikan dan pelaksanaan PPPM yang sentiasa mendapat kritikan daripada pelbagai pihak.
“Bagi tahun 2020, saya harap semua pihak terus memberikan keutamaan dan tanggungjawab sepenuhnya terhadap pelaksanaan semua dasar dan inisiatif pendidikan supaya sasaran untuk memacu peningkatan sistem pendidikan dalam Gelombang 2 PPPM 2013-2025 dapat direalisasikan,” katanya.
Tambah Raisin, semua pendidik perlu tingkatkan usaha menambah pengetahuan dan kemahiran terutamanya dalam mempelbagaikan startegik pengajaran dan pembelajaran.
“Generasi murid kini telah kehadapan dari segi teknologi justeru pengajaran kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) perlu diperhebat dalam diri murid sejajar kaedah Pembelajaran Abad ke-21.
“Pembelajaran harus menyeronokkan, pertingkatkan pengajaran dan pembelajaran kepada penguasaan dan aplikasi pengetahuan oleh murid,” katanya lagi.
-SH