
Laporan/foto: Musliha Yusof (Johor Bahru)
KULAI, 16 Feb (Malaysiaaktif) – Perpaduan merupakan asas untuk melahirkan sebuah negara harmoni dan makmur, justeru dalam usaha membentuk semangat muhibah dalam kalangan generasi kecil, antaranya aktiviti mewarna yang boleh dijadikan platform terbaik bagi memupuk dan mengekalkan keharmonian serta hormat menghormati.
Penyelia Kanan di Jabatan Kemajuan Masyarakat Daerah Kulai Norazizah Isa, 47, berkata pertandingan mewarna mampu mendidik minda anak-anak untuk lebih kreatif dan berfikir dalam menyelesaikan masalah.
“Aktiviti mewarna merupakan komponen penting perkembangan seorang kanak-kanak dalam membentuk fikiran dan idea menerusi lukisan.

Aktiviti mewarna mampu mendidik minda kanak-kanak untuk lebih kreatif dan berfikir dalam menyelesaikan masalah.
“Pelbagai ekspresi diri ini penting dalam mengembangkan kemahiran komunikasi dan emosi, serta kesedaran psikologi untuk menghasilkan kreativiti mewarna,” katanya.
Tambah Norazizah, warna memberi kesan terhadap emosi dan jiwa kanak-kanak, oleh itu pertandingan mewarna yang diadakan secara tidak langsung akan membantu membina imiginasi mereka dalam meluahkan apa yang tersirat dalam minda masing-masing.
Menyedari aktiviti ini membawa impak yang positif, satu pertandingan mewarna telah diadakan di sebuah pasar raya di sini yang menyasarkan lebih kurang 20 orang kanak-kanak yang berumur diantara lima dan enam tahun, semalam.
Ibu kepada peserta, Norbazilawati Ismail, 33, yang merupakan penduduk setempat berharap penyertaan anaknya, Mohd Adam Rayyan, 6, mampu membuka minda anak beliau untuk bergaul dengan kanak-kanak seusianya.
“Saya tahu anak saya tidak mempunyai teknik yang hebat dalam mewarna tapi saya sangat berharap dengan pendedahan awal ini, beliau mampu berhadapan dengan situasi pertandingan serta bergaul dengan kawan-kawan,” ujarnya.
Aktiviti ini juga merupakan satu medium santai bagi kanak-kanak untuk beriadah disamping mendidik mereka untuk menyiapkan tugasan mengikut masa yang ditetapkan.
Majlis penyampaian hadiah telah disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senai Tee Boon Tsong di mana hadiah pertama telah dimenangi oleh Rania Marissa Huzaifah yang berusia enam tahun.
-NI-