
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
SHAH ALAM, 24 Feb (Malaysiaaktif) – Pengurusan dan warga kerja Jabatan Penerangan (JaPen) Selangor menyatakan komitmen untuk bebas rasuah dengan melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) disaksikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Majlis yang berlangsung di Wisma Persekutuan Klang dihadiri 92 kakitangan JaPen Selangor di hadapan Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim.
Pengarah JaPen Selangor, Ali Suhaili, berkata JaPen Selangor sentiasa menyokong penuh Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) yang merupakan usaha murni kerajaan membanteras isu rasuah di kalangan penjawat awam.
“Penjawat awam harus mempunyai integriti yang tinggi, keikhlasan serta kejujuran dalam melaksanakan apa sahaja peranan kita sebagai penjawat awam.
“Tiba masanya kita melihat gejala rasuah sebagai satu penyakit dalam diri manusia sejak sekian lama, perlu dibendung agar tidak menjadi budaya dalam kalangan penjawat awam.,” katanya.
Sementara itu, Alias berkata pihaknya mengucapkan tahniah kepada JaPen Selangor yang mengambil inisiatif melafazkan IBR bagi memastikan tadbir urus dan negara bebas gejala rasuah.
“Indek Persepsi Rasuah (CPI) 2019 naik 10 anak tangga daripada 61 (2018) kepada tangga ke 51, peningkatan yang mendadak hasil usaha kerajaan.
“Objektif IBR untuk menyampaikan mesej orang awam dan komitmen penjawat awam agar membenci amalan rasuah,” katanya.
Lafaz IBR anggota JaPen Selangor telah dipimpin oleh Ali Suhaili bersama Penolong-penolong Pengarah, Pegawai-pegawai Penerangan Daerah dan semua kakitangan sebelum sesi menandangani IBR.
-NAZ