
Laporan/foto: Musliha Yusof (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 26 Feb (Malaysiaaktif) – Golongan usahawan perlu mendapat bimbingan dan pendedahan menerusi pelbagai program keusahawanan supaya mampu mencapai kejayaan dan bersaing dalam bidang yang diceburi.
Menurut usahawan makanan, Haslinda Kono Jamil, 43, beliau menyertai seminar Rahsia Data Pelanggan anjuran Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dengan kerjasama Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor ini bagi mendapatkan pendedahan tentang kaedah perniagaan yang menguntungkan dan membentuk keyakinan diri.
“Saya mengusahakan perniagaan makanan sushi di Masai dan mengetahui mengenai program ini melalui laman facebook Perbadanan Usahawan Johor Berhad (PUJB).

Haslinda Kono Jamil menyertai program ini untuk mendapat pendedahan tentang kaedah perniagaan yang menguntungkan.
“Pada masa kini, kuasa media sosial mampu mempengaruhi para pembeli dan saya percaya bahawa dengan pengurusan data pelanggan yang berkesan dan sistematik mampu meningkatkan lagi hasil jualan,” katanya.
Ketua Jabatan Latihan INSKEN Norasiah Harun ketika ditemui di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada berasa gembira dengan sambutan para peserta seminar ini dan berharap agar masyarakat sentiasa mengambil peluang untuk mendapatkan ilmu keusahawanan bagi meningkatkan ekonomi negara secara amnya.
“Orang ramai boleh membuat pendaftaran untuk mengikuti kursus dan latihan anjuran INSKEN melalui laman web www.insken.gov.my yang akan diadakan di beberapa lokasi terpilih,” ujarnya.

Mohd Fahdi Mohd Ghazali mengajak semua usahawan mempersiapkan diri dengan ilmu-ilmu serta pengetahuan perniagaan.
Penceramah jemputan, Mohd Fahdi Mohd Ghazali yang merupakan pengarah urusan SIFOO International Sdn Bhd mengajak semua peserta yang hadir agar mempersiapkan diri dengan ilmu-ilmu serta pengetahuan perniagaan yang secukupnya sebagai perisai bagi menempuh dunia perniagaan.
“Pengurusan data pelanggan yang teratur dan sistematik sangat penting untuk menyiapkan para usahawan dalam menghadapi cabaran Revolusi Industri Keempat (IR4.0),” tambahnya.
Kerajaan berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai Negara Keusahawanan Unggul menjelang tahun 2030 dengan mewujudkan ekosistem keusahawanan yang lebih bersepadu dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi setempat dan mencapai kemakmuran bersama.
Manakala, INSKEN pula amat komited dalam membantu pembangunan keusahawanan, terutamanya kepada golongan isi rumah yang berpendapatan 40 peratus terendah iaitu golongan B40.

Norasiah Harun berharap masyarakat sentiasa mengambil peluang untuk mendapatkan ilmu keusahawanan melalui program INSKEN.
Seminar ini telah dirasmikan oleh Pengarah Eksekutif PUJB, Ashari Kasnan dengan kehadiran peserta seramai 500 orang yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia di seluruh negeri Johor.
-NI-