Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 27 Feb (Malaysiaaktif) – Syarikat Repsol Oil & Gas Malaysia Limited menyuntik semangat para pelajar dalam kalangan anak-anak nelayan di sini untuk terus cemerlang dalam akademik dengan memberikan sumbangan bagi menghargai usaha mereka dalam bidang pelajaran.
Menurut Pengurus Kanan, Stakeholder Relations, Repsol Oil & Gas Malaysia Limited, Ahmad Fakhrurrazi Arshad, pihaknya komited dan prihatin untuk membantu masyarakat dan komuniti tempatan di mana mereka beroperasi.
“Kami memikul tanggungjawab sosial secara serius dan berterusan, menitik-beratkannya dalam bidang keselamatan, pendidikan, kesihatan dan pembangunan modal insan,” katanya semasa merasmikan Majlis Anugerah Inovasi Bagi Murid-Murid Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) Bagi Tahun 2019 daripada Komuniti Nelayan, di sini semalam.
Anugerah itu katanya tercetus daripada keinginan mereka membantu anak-anak golongan nelayan di wilayah ini yang bersekolah untuk mencapai kecemerlangan dalam akademik dan aktiviti ko-kurikulum sekolah.
“Kami mengharapkan agar insentif ini menjadi suntikan semangat kepada pelajar untuk terus berusaha mengekalkan kecemerlangan dalam pelajaran sehingga ke tahap menara gading serta menjadi kebanggaan kepada ibu-bapa, keluarga, guru-guru dan sekolah,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengarah Pendidikan Labuan Raisin Saidin, berharap para penerima boleh berjimat cermat dan memulakan amalan menabung dengan sumbangan yang diterima.
“Anak – anak perlu mencari satu kaedah untuk menghargai sumbangan yang diterima dan mesti bijaksana menggunakan wang berkenaan seperti membeli buku-buku rujukan.
“Semoga bantuan ini meningkatkan motivasi murid-murid dalam pembelajaran dan kemenjadian murid dalam akademik dan terima kasih kepada penaja atas usaha murni ini dalam membantu pelajar ini sebagai satu bentuk motivasi,” katanya.
Sementara itu, seorang penerima dari Sekolah Menengah Kebangsaan Pantai, Seri Suriana Ali Subroto, 13, berkongsi rasa syukur menerima sumbangan itu.
“Saya berterima kasih kepada pihak penaja kerana memberi bantuan ini dan saya akan gunakannya untuk membeli peralatan sekolah serta buku pelajaran.
“Bantuan ini juga memberi semangat kepada saya untuk lebih berusaha dalam pelajaran dan ingin mencapai keputusan lebih cemerlang,” katanya yang memperoleh keputusan 4A 1B dan 1C pada peperiksaan UPSR tahun lalu.
Pada majlis tersebut seramai 40 murid lepasan UPSR menerima wang tunai sebanyak RM300 manakala 20 murid PT3 menerima RM400 setiap seorang.
-SH