Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMANegeri Sembilan

Politeknik Negeri Sembilan Capai Kejayaan Berganda

By 13 Mac 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan / Foto : Noorshazana Shaadan (Port Dickson) / Rozita Ibrahim (Politeknik Port Dickson)

PORT DICKSON, 12 Mac (Malaysiaaktif) – Pasukan Sofbol Politeknik Negeri Sembilan muncul juara berganda apabila dinobatkan sebagai juara kategori lelaki dan wanita dalam Kejohanan Liga Premier Sofbol Majlis Sukan Politeknik Politeknik Malaysia 2020.

Pasukan lelaki Politeknik Negeri Sembilan yang dibarisi oleh atlet gabungan Politeknik Port Dickson dan Politeknik Nilai berjaya menumpaskan pasukan Politeknik Negeri Kedah dengan kiraan larian tujuh berbalas kosong dalam perlawanan akhir dan seterusnya dinobatkan sebagai juara edisi 2020.

Kegembiraan pasukan sofbol Negeri Sembilan diteruskan lagi apabila pasukan wanita Politeknik Negeri Sembilan berjaya menundukkan musuh tradisi Politeknik Negeri Johor dengan kiraan larian 15-5 dalam aksi final.

Pengarah Politeknik Port Dickson, Roslee Yahya, berkata kejayaan menjadi juara berganda ini merupakan satu kenangan yang manis dan ia merupakan kejayaan para atlet serta pegawai yang bertungkus lumus dalam menjalani latihan intensif dari awal tahun lagi.

“Perancangan yang baik oleh pegawai serta komitmen yang dipamerkan oleh para atlet menjadi penentu kejayaan pasukan dan ia adalah selaras dengan hasrat Politeknik untuk melahirkan para pelajar yang seimbang dari segi akademik dan juga sukan,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Ketua Pasukan Politeknik Negeri Sembilan, Nur Anisya Zufanizan menyifatkan kejayaan meraih juara tiga tahun berturut-turut adalah satu kenangan yang berharga buatnya dan seluruh pasukan sepanjang bergelar pelajar Politeknik.

Ketua pasukan lelaki, Ahmad Fitriee Yahya pula berkata, beliau berbangga dengan semangat juang yang ditunjukkan oleh ahli pasukan sekaligus berjaya menebus kekecewaan untuk bergelar juara pada edisi yang lepas.

Kejohanan Liga Premier Sofbol Majlis Sukan Politeknik Malaysia 2020 ini merupakan kejohanan tahunan kali ke-15 berlangsung di Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang, Johor menyaksikan 10 penyertaan pasukan lelaki dan lima penyertaan pasukan wanita daripada Politeknik seluruh Malaysia.

-AK

Tinggalkan komen anda