Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Masih Ramai Tidak Praktik Penjarakan Sosial – MPS

By 27 Mac 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

SELAYANG, 27 Mac (Malaysiaaktif) – Majlis Perbandaran Selayang (MPS) memaklumkan hasil pemeriksaan semalam, mendapati pematuhan penjarakan sosial dalam kalangan orang awam masih pada tahap rendah.

Yang Dipertua MPS, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor, berkata pihaknya mendapati orang ramai dilihat masih tidak mengamalkan jarak selamat satu meter seperti yang disarankan kerajaan.

“Pemeriksaan di beberapa pasaraya dan kedai runcit sekitar Selayang mendapati orang ramai masih berkerumun dan berkumpul di ruang kedai tanpa mengamalkan jarak selamat satu meter seperti yang disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Begitu juga keadaan di luar bangunan pasar awam apabila pengunjung dilihat masih berkumpul dan tidak terus beredar selepas selesai melakukan pembelian.

“MPS bertindak memberikan amaran lisan kepada pemilik pasaraya dan kedai runcit yang terlibat untuk meningkatkan kawalan pengunjung, jarak sosial dan kebersihan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

MPS sentiasa membuat pemeriksaan di pasaraya, kedai runcit dan pasar awam agar orang ramai mematuhi penjarakan sosial ketika urusan pembelian.

MPS sentiasa membuat pemeriksaan di pasaraya, kedai runcit dan pasar awam agar orang ramai mematuhi penjarakan sosial ketika urusan pembelian.

Dalam perkembangan sama, Shamsul memaklumkan MPS telah memeriksa 1,091 premis perniagaan serta gerai penjaja sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sejak 18 Mac lalu sehingga semalam.

“Sebanyak 24 daripadanya diarah tutup, 250 diberikan notis amaran dan 470 amaran lisan telah dikeluarkan dalam tempoh berkenaan.

“Pemilik premis yang menjalankan perniagaan selain yang dibenarkan oleh kerajaan perlu ditutup atau berhadapan tindakan daripada MPS.

“Sebarang pertanyaan atau aduan boleh menghubungi Bilik Gerakan Khas MPS menerusi talian 03-61389898 atau talian bebas tol di 1-800-22-2677 yang beroperasi pada Isnin hingga Jumaat,” katanya.

-SH

Tinggalkan komen anda