Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Jangan Bimbang, Bekalan Makanan Di Johor Mencukupi – Samsolbari Jamali

By 28 Mac 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Musliha Yusof/MEDKOM (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 28 Mac (Malaysiaaktif) – Penularan wabak COVID-19 di negara ini telah menimbulkan keresahan dalam kalangan pengguna yang khuatir bekalan makanan untuk tempoh Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) tidak mencukupi.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor Datuk Samsolbari Jamali, bekalan makanan basah utama seperti sayur-sayuran, ikan, ayam dan daging mentah di seluruh negeri ini adalah mencukupi sehingga ke hari ini.

“Penduduk di sini tidak perlu berasa risau kerana Johor merupakan negeri pengeluar utama sayur-sayuran dan buah-buahan di Malaysia.

“Johor adalah merupakan negeri utama yang membekalkan ayam, telur ayam, daging manakala bekalan ikan di negeri ini juga masih lagi terkawal berikutan aktiviti penternakan dan penangkapan ikan masih lagi berjalan seperti biasa, biarpun operasi bagi beberapa bot pukat tunda terpaksa dihentikan,” katanya melalui kenyataan media yang dikeluarkan semalam.

Tambah beliau, para pembekal juga diingatkan agar menghubungi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk mendapatkan surat kebenaran logistik agar tidak timbul isu pengangkutan akibat daripada PKP yang dilaksanakan.

“Orang ramai boleh terus mendapatkan bekalan mentah di Pasar Tani Kekal (PTK) yang masih lagi beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh PKP ini, namun harus mengikuti penjarakan sosial dan hanya ketua keluarga sahaja dibenarkan untuk membuat pembelian.

“Selain itu di bawah FAMA juga kita mempunyai sebanyak 27 Agrobazaar Kedai Rakyat (AKR) dan 9 Agrobazaar Rakyat (ABR) di seluruh negeri Johor,” ujarnya lagi.

Samsolbari turut menjelaskan bahawa penutupan kilang di Felda Adela telah diselesaikan dengan cara buah sawit di kawasan itu dihantar ke Felda Semenchu untuk diproses dan pihak pengurusan Felda juga telah mengambil sepenuh tanggungjawab terhadap kebajikan keluarga yang dikuarantin akibat dari wabak COVID-19 ketika ini.

“Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) turut mengambil inisiatif dalam memasarkan nanas di negeri ini dengan menghantar ke kilang untuk diproses dan sebahagiannya dipasarkan ke negeri-negeri lain.

“Saya berharap penduduk di negeri ini dapat bertenang dan mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dijangka akan berakhir pada 14 April ini bagi menghentikan rantaian jangkitan COVID-19 untuk kesejahteraan bersama,” katanya lagi.
-NI-

Tinggalkan komen anda