
Laporan/foto: Lizza Imelia M. Sulanah (Seberang Perai Tengah)
BUKIT MERTAJAM, 31 Mac (Malaysiaaktif) – Kolej Komuniti Seberang Jaya (KKSBJ) melaksanakan inisiatif menyiapkan pelindung muka untuk kegunaan para petugas barisan hadapan yang bertugas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menghadapi wabak COVID-19.
Menurut Pengarah Kolej Komuniti Seberang Jaya Radzuan Othman, usaha ini amatlah kecil jika dibandingkan dengan pengorbanan para barisan hadapan dalam melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan negara dengan mempertaruhkan keselamatan dan nyawa mereka.
“Pensyarah dan kakitangan Kolej Komuniti Seberang Jaya telah bekerjasama dengan Politeknik Sultanah Bahiyah, Kulim yang diketuai oleh Ketua Jabatan Kejuruteraan Elektrik KKSJ Husaini Aza Mohd Adam, bagi menyedia dan menyiapkan projek ini.
“Pihak KKSBJ sangat berterima kasih kepada Pengarah Politeknik Sultanah Bahiyah, Kulim Yusma Yusof, atas kerjasama ini walaupun cuma hanya bekerja dari rumah, namun komitmen yang tinggi telah ditunjukkan bagi merealisasikan projek ini,” katanya.
Usaha ini juga mendapat sokongan padu daripada Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah (PDTSPT).

Penyerahan pelindung muka kepada pihak PDTSPT untuk dipanjangkan kepada petugas barisan hadapan bagi Daerah Seberang Perai Tengah.
Sebanyak 85 pelindung muka telah diserahkan kepada pihak PDTSPT untuk dipanjangkan kepada petugas barisan hadapan bagi Daerah Seberang Perai Tengah dan berharap ianya dapat membantu mereka yang bekerja demi menyelamatkan negara dalam membendung penularan wabak merbahaya ini.
-ii-