Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Polis Buru Lelaki Lepaskan Tembakan, Samun Bank di Shah Alam

By 23 April 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 23 Apr (Malaysiaaktif) – Polis sedang memburu seorang lelaki dipercayai warga tempatan yang melepaskan sedas tembakan sebelum menyamun sebuah bank di Seksyen 13, di Shah Alam, Selangor, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib berkata dalam kejadian pukul 2.45 petang itu, suspek yang bersenjatakan sepucuk pistol melepaskan tembakan pada pintu laluan masuk ke kaunter juruwang dan memaksa petugas menyerahkan wang.

Beliau berkata ketika kejadian, hanya empat pekerja serta seorang pengawal keselamatan sedang bertugas dan kesemua mereka tidak dicederakan.

“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup bank, suspek dilihat memakai ‘windbreaker’ berwarna hijau gelap yang menutup bahagian kepala serta memakai penutup hidung dan mulut warna hitam.

“Daripada rakaman itu juga suspek dilihat mempunyai bentuk badan kurus dan tinggi. Wang sebanyak RM3,716 dilarikan lelaki berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Baharudin, hasil siasatan menemukan satu kelongsong peluru dan sebutir anak peluru di lokasi kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjatapi (penalti lebih berat) 1971 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, ASP Chua Cheong Kheow di talian 019-4217868, katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda