Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Peniaga E-Bazar Terima Manfaat Insentif Geran Galakan Perniagaan Makmur Johor

By 23 April 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto : Shah Hood/MedKom (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 23 Apr (Malaysiaaktif) – Kerajaan negeri mengumumkan insentif geran galakan perniagaan RM200 seorang kepada peniaga yang berdaftar sebagai peniaga e-bazar.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor Ayub Jamil, terdapat kira-kira 10,357 peniaga bazar berdaftar dalam kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Johor dan di kawasan luar bandar di mana dijangkakan lebih 5000 peniaga yang berdaftar sebagai peniaga e-bazar akan menerima manfaat ini.

“Dengan pemberian insentif geran galakan perniagaan secara one off ini secara tidak langsung dapat membantu memasarkan produk mereka secara dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, semalam.

Ayub memaklumkan, kerajaan negeri telah melantik dua penyedia sistem iaitu eBAZARA dan Getmakan untuk menguruskan inisiatif ini.

“Sistem yang dibangunkan ini membantu sinergi yang holistik terhadap peniaga, pembeli dan penghantar makanan bagi menggantikan pelaksanaan Bazar Ramadan konvensional.

“Bagi peniaga di luar bandar seperti Felcra atau Felda yang bukan di bawah pentadbiran PBT, peniaga terlibat akan dikenal pasti dan diselaraskan di bawah portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar melalui Pejabat Daerah,” ujarnya lagi.

Tambah beliau, para peniaga perlu berdaftar dengan platform yang disediakan oleh kerajaan negeri iaitu eBAZARA atau Getmakan untuk menerima inisiatif ini.

“Terdapat beberapa kriteria yang perlu dipatuhi untuk membolehkan peniaga menerimanya.

“Peniaga haruslah mematuhi syarat yang ditetapkan oleh PBT iaitu mendapatkan suntikan typhoid, keperluan ini juga termasuk peniaga yang berada di luar bandar dan kawasan kampung serta mempunyai sijil pengendalian makanan yang diperakui,” katanya.

Ayub menjelaskan, pemohon perlu berdaftar dengan syarikat penyedia perkhidmatan yang disahkan Perbadanan Usahawan Johor Berhad (PUJB) dan telah menjalankan perniagaan sekurang-kurangnya tujuh hari sepanjang bulan Ramadan.

“Peniaga harus mempunyai akaun bank sah atas nama peniaga yang berdaftar dengan PBT namun pemohon yang tidak mempunyai akaun juga boleh mendapatkan bayaran insentif secara tunai menerusi PBT dan Pejabat Daerah masing-masing,” katanya lagi.
-NI-

Tinggalkan komen anda