
Laporan/foto: Haniza Harun (Melaka)/FB Kem Tasik Biru
MELAKA, 6 Mei (Malaysiaaktif) – Kerajaan Negeri komited untuk memastikan Melaka mempunyai lebih banyak sumber bekalan air alternatif pada masa hadapan. Sehubungan itu, pelbagai usaha giat diatur oleh Kerajaan Negeri Melaka bagi memastikan hasrat tersebut dapat direalisasikan.
Menurut Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali, Kerajaan Negeri Melaka telah mengenal pasti potensi Tasik Biru, daerah Jasin sebagai sumber baharu kepada negeri Melaka.
“Projek Tasik Biru menjadi sebahagian daripada komponen Projek Off River Storage (ORS) Melaka yang telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan pada tahun 2017 dengan kos berjumlah RM350 juta,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri Melaka baru-baru ini.
Menurutnya, projek ini akan dilaksanakan oleh Bahagian Bekalan Air (BBA), Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA). Projek ini dijangka siap pada Ogos 2020.
“Laporan Kajian Interim 1 telah mengesahkan bahawa projek ini berpotensi untuk membina sebuah kolam takungan berkapasiti 25,000 juta liter serta membekalkan sejumlah 280 juta liter sehari untuk tujuan rawatan air.
“Melaka sangat bergantung kepada taburan hujan yang diterima di kawasan tadahan untuk bekalan air. Secara purata, rekod taburan hujan yang diperolehi daripada sistem telemetri di Empangan Durian Tunggal (EDT) menunjukkan penurunan yang mana pada tahun 2017 mencatatkan 2,174mm, tahun 2018 sebanyak 1,887 mm dan terus menurun pada tahun 2019 kepada 1,172.5mm.
“Trend menurun ini juga dicatat pada sistem telemetri Empangan Jus dengan jumlah purata hujan sebanyak 1,292mm pada tahun 2019 berbanding 2,189mm pada 2017,” katanya lagi.
Jumlah taburan hujan yang sangat rendah diterima pada 2019 menjadikan usaha untuk menyimpan air di empangan menjadi semakin sukar. Namun bagitu, Kerajaan Negeri Melaka tidak berputus asa dalam usaha menghasilkan sumber air yang mencukupi untuk menampung keperluan rakyat dan industri di negeri ini.
-KN