Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMelaka

KKSL Hargai Petugas Barisan Hadapan, Santuni Komuniti

By 16 Mei 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norus Saadah Ahmad (KKSL)/KKSL

ALOR GAJAH, 16 Mei (Malaysiaaktif) – Seramai 13 orang sukarelawan Kolej Komuniti Selandar (KKSL) berjaya menyiapkan sebanyak 1077 set kelengkapan perlindungan diri (PPE) melalui Inisiatif PPE for Frontliners untuk kegunaan petugas Hospital Alor Gajah sebagai sokongan padu kepada petugas barisan hadapan kesihatan melalui Projek KKSL Prihatin.

Pengarah KKSL, Baharuddin Osman, berkata kecekapan petugas barisan hadapan kerajaan dalam menjalankan tugas amat dibanggakan, sumbangan melalui Projek KKSL Prihatin ini sekadar usaha kecil dalam memberikan sokongan padu kepada mereka yang bertungkus lumus berjuang demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sejak negara mula menghadapi COVID-19.

“Jasa dan pengorbanan petugas barisan hadapan dalam membantu negara mendepani cabaran penularan wabak COVID-19 amat dihargai dan disanjung tinggi. Sikap dedikasi dan komitmen tinggi mereka menggalas tugas dengan penuh tanggungjawab sehingga mereka sanggup berjuang dan mempertaruh nyawa sendiri tanpa mengira masa dan tenaga semata-mata bagi memastikan keselamatan dan kesihatan komuniti rakyat terjamin haruslah dipuji.

“Dalam KKSL menghargai penat lelah petugas barisan hadapan, KKSL turut menyantuni warga komuniti setempat yang turut terkesan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.

Penyampaian sumbangan Kit Kasih Ramadan kepada komuniti setempat.

Penyampaian sumbangan Kit Kasih Ramadan kepada komuniti setempat.

“Alhamdulillah, kami turut memberikan sebanyak 104 sumbangan kepada warga komuniti setempat termasuk 82 kit sumbangan diedar melalui inisiatif program Fresh Food for Community dan 22 kit sumbangan melalui inisiatif program Kit Kasih Ramadan edaran ke rumah penerima,” katanya yang ditemui sempena serahan bantuan kepada penerima, di sini baru-baru ini.

Sementara itu, menurut Penyelaras Projek KKSL Prihatin Azwa Abdul Halim, pihak KKSL berharap agar inisiatif yang dilaksanakan melalui Projek KKSL Prihatin ini memberi manfaat buat semua pihak.

“Semoga projek ini menjadi titik tolak bagi memperkasakan semangat sukarelawan dalam kalangan warga KKSL dan juga membudayakan nilai menghargai jasa petugas perkhidmatan kesihatan dan keselamatan awam.

“Warga KKSL sentiasa mendoakan agar penularan pandemik ini segera berakhir dan menyeru rakyat Malaysia agar terus mengamalkan norma baharu serta terus kekal duduk dirumah bagi memutuskan rangkaian COVID-19 ini,” katanya.

-SH

Tinggalkan komen anda