
Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)/Infografik KKM
PUTRAJAYA, 29 Mei (Malaysiaaktif) – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat 66 kes yang telah sembuh dan dibenarkan keluar pada hari ini manakala tiada kes kematian berkaitan COVID-19 direkodkan hari ini.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, terdapat 103 kes baharu dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 7,732 kes.
“Lonjakan kes baharu dilaporkan pada hari ini adalah disebabkan oleh kes dalam kalangan bukan warganegara dan kesemua mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.
“Daripada 103 kes baharu yang dilaporkan itu, tujuh adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara. Daripada 96 kes penularan tempatan, 84 kes adalah kes bukan warganegara Malaysia di mana 53 kes dikesan daripada Kluster Pedas dan 24 kes daripada Kluster Syarikat Pembersihan. Oleh itu, kes penularan tempatan di kalangan warnanegara Malaysia adalah 12 kes sahaja,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut memaklumkan, KKM telah mengenalpasti satu kluster yang melibatkan pekerja bukan warganegara di sebuah syarikat pembersihan.
“Sebanyak 24 kes positif COVID-19 telah dilaporkan dalam kluster ini yang melibatkan warganegara Bangladesh di mana Kes-kes ini dikesan oleh sebuah klinik swasta yang telah menjalankan saringan COVID-19 ke atas pekerja-pekerja sebuah syarikat pembersihan. Daripada 150 pekerja bukan warganegara dari syarikat tersebut, 126 pekerja didapati negatif COVID-19.
“Langkah-langkah pembendungan dan pencegahan seterusnya telah diambil seperti mengenalpasti dan menjalankan ujian saringan COVID-19 ke atas semua penghuni dan kontak rapat mereka termasuk pekerja bukan warganegara yang bertugas di unit lain. Setakat ini seramai 428 kontak rapat telah dikenalpasti dan akan disaring,” katanya lagi.