
PUTRAJAYA, 3 Jun (Malaysiaaktif) – Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) menyambut baik keputusan Kerajaan membenarkan syarikat penerbitan drama, filem dan iklan kembali beroperasi mulai 10 Jun.
Presidennya Panchacharam Nalliah atau Pansha berkata walaupun dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, sekurang-kurangnya ia dapat membantu melaksanakan proses penggambaran yang telah lama tertangguh.
“Terima kasih sekali lagi kepada kerajaan yang amat prihatin terhadap industri kreatif Malaysia.
“Dalam masa yang sama dapat menggerakkan semula ekonomi industri dengan kebiasaan baharu dan memberi peluang kepada penggiat seni kembali aktif,” katanya.
Dalam sidang media harian mengenai COVID-19 semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata aktiviti penggambaran drama, filem dan iklan boleh mula beroperasi mulai 10 Jun dengan mematuhi SOP yang ketat.
— BERNAMA