
Foto: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia
PUTRAJAYA, 5 Jul (Malaysiaaktif) – Persatuan nelayan di negara ini mampu memainkan peranan penting dalam usaha mengukuhkan pemasaran untuk projek-projek ternakan akuakultur yang dilihat mampu menjana keuntungan tinggi buat pengusahanya.
Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Othman Abdul Latiff berkata contohnya Projek Ternakan Udang Harimau di Sebatu di sini mampu menjana hasil memberangsangkan sebanyak 222 tan metrik dengan anggaran nilai RM6.9 juta dengan pemasaran berkesan sejak tahun 2018 hingga pertengahan tahun ini.
Katanya, projek itu dilaksana LKIM dengan Persatuan Nelayan Kebangsaan, Persatuan Nelayan Negeri Melaka dan Persatuan Nelayan Kawasan Sebatu berkeluasan 98.86 hektar di bawah Projek Berimpak Tinggi Zon Industri Akuakultur (HIP-ZIA).
“Jenis udang harimau (penaeus monodon) yang diternak di kolam air payau ini mempunyai daya ketahanan tinggi dan kadar tumbesaran yang cepat iaitu tempoh tuaian hasil antara 120 hingga 180 hari dengan purata harga jualan RM35 hingga RM45 sekilogram bergantung kepada harga pasaran semasa.
“Udang harimau ini turut dijual dalam talian bagi pengguna Lembah Klang melalui platform www.nekmatbiz.com.my selain e-Dagang bagi memaksimumkan rantaian bekalan dan pemasaran makanan seterusnya memenuhi permintaan hasil perikanan seluruh negara,” katanya.
Terdahulu, beliau mengiringi Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1 Datuk Seri Ahmad Hamzah melawat projek ternakan udang harimau di Melaka.
Othman berkata terdapat enam lagi projek akuakultur seumpama projek itu dengan pelbagai jenis ternakan seperti udang putih (Vannamei), ikan kerapu hibrid dan ikan tilapia merah yang diusahakan di Badong, Pahang; Telaga Air, Sarawak; Langkawi dan Pantai Merdeka, Kedah.
Beliau berkata projek seumpama itu juga penting dalam usaha memberikan pelbagai variasi pendapatan kepada nelayan dan tidak bergantung kepada pendaratan ikan semata-mata.
Sementara itu, Kiandee berkata projek ternakan akuakultur seumpama itu perlu diperkasa dan diperluaskan di kawasan lain di seluruh negara supaya ia mampu menyumbang kepada pengeluaran sumber makanan laut selain meningkatkan sosioekonomi nelayan.
— BERNAMA