Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

KIDA Fasa Kedua Beri Manfaat Kepada 197 Penerima di Sik

By 10 Julai 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Fasharina Kholil/Yusmila Yusof (Sik)

SIK, 10 Jul (Malaysiaaktif) – Seramai 197 orang penerima terdiri daripada wanita berkeluarga dan ibu tunggal dalam kalangan golongan B40 di daerah ini memperoleh manfaat menerusi Program Kasih Ibu Darul Aman (KIDA) fasa kedua yang bermula Julai hingga Disember ini.

Program Inisiatif Peduli Rakyat yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri ini dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan melalui Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) bertujuan meningkatkan daya beli dan taraf hidup, sekaligus membasmi kemiskinan terutamanya di kawasan luar bandar.

Penolong Pegawai Daerah Sik (Pengurusan Daerah) Azmee Omar, berharap agar penerima memanfaatkan bantuan ini dengan sebaik-baiknya supaya dapat merasai kehidupan yang lebih selesa di samping dapat membantu membasmi kemiskinan.

“KIDA menggunakan mekanisme kad pintar bagi menyalurkan bantuan kewangan untuk pembelian barangan keperluan asas sebanyak RM250 sebulan serta kos rawatan perubatan kesihatan di klinik swasta kepada penerima KIDA seisi keluarga sebanyak RM250 bagi tempoh enam bulan.

“Bagi penerima fasa kedua ini juga menyaksikan ada penerima yang masih kekal dan ada yang digugurkan berdasarkan pemutihan yang dibuat dari masa ke masa dilaksanakan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri,” katanya yang ditemui sempena majlis serahan kad tersebut, di sini semalam.

Penerima mendapat penerangan berkaitan penggunaan kad tersebut daripada pegawai bertugas.

Penerima mendapat penerangan berkaitan penggunaan kad tersebut daripada pegawai bertugas.

Menurut Azmee, penerima KIDA dipilih daripada senarai bank data kemiskinan nasional iaitu e-Kasih yang diselia oleh ICU Kedah bagi memastikan hanya golongan miskin dan miskin tegar yang layak menerima bantuan tersebut.

“Terdapat 13 buah kedai runcit terpilih serta dua buah klinik kesihatan yang mendaftar dengan kerajaan negeri boleh digunakan oleh penerima bagi membeli barangan keperluan harian serta mendapatkan rawatan.

“Penggunaan kad KIDA fasa kedua ini juga turut diperluaskan dimana penerima kini boleh membeli gas memasak di kedai-kedai panel serta pelitup muka dan pembersih tangan di klinik-klinik panel terpilih,” katanya.

Azmee menjelaskan, dalam usaha meningkatkan tahap kesihatan rakyat, NCIA turut menambah kos pembiayaan rawatan kesihatan kepada RM70 sehari berbanding RM50 sebelum ini.

“Selain membantu meningkatkan taraf hidup golongan sasar, program KIDA juga turut berperanan membantu merancakkan lagi ekonomi setempat,” tambahnya.

-SH

Tinggalkan komen anda