
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin(Labuan)
LABUAN, 19 Jul (Malaysiaaktif) – Warga Labuan diseru mempertahankan kemerdekaan dengan memelihara keamanan negara.
Menurut Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bashir Alias, kemerdekaan yang diperjuangkan pemimpin terdahulu perlu dikekalkan.
“Kemerdekaan ini harus dipertahankan dengan cara menjaga keamanan yang sedia ada di negara kita, lebih lagi negara kita adalah terdiri dari berbilang kaum serta jangan termakan hasutan sehingga boleh menimbulkan perbalahan dan menjejas keharmonian kaum.
“Perjuangan menuntut kemerdekaan bukanlah sesuatu yang senang, Tunku Abdul Rahman bekerja keras menuntut kemerdekaan daripada British, rakyat berkorban wang ringgit, emas dan haiwan ternakan untuk mengumpul dana menuntut kemerdekaan,” katanya semasa ditemui pada Program Info on Wheels (IoW) Merdeka Anjuran Jabatan Penerangan Labuan, di Dewan Komuniti Kampung Sungai Lada, semalam.
Beliau melahirkan penghargaan kepada Jabatan Penerangan Malaysia yang mengambil inisiatif untuk menjalankan IoW Merdeka ke seluruh pulau itu.
“Konvoi ini dapat menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan khususnya di Labuan dan memberi peringatan kepada kita pentingnya mempertahankan kemerdekaan yang dicapai negara.
“Program ini juga akan membangkitkan lagi semangat di hati sanubari penduduk Labuan mengenai Hari Kebangsaan yang kadang-kadang dilupakan dan kurang dihayati dengan mendalam,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Sub Zon 3, Omar Masir, turut merasa bangga menyambut ketibaan konvoi IoW Merdeka.
“Kami merasa bangga kerana IoW Merdeka singgah di zon kami dan ini satu yang perlu kita sokong di peringkat komuniti kerana usaha menyemarakkan rasa sayang kepada negara adalah tanggungjawab semua pihak.
“Sambutan yang diberikan oleh pihak komuniti juga amat baik dan ini menunjukkan rakyat akan bersama-sama kerajaan dalam apa sahaja usaha untuk mencapai keamanan, keharmonian dan kesejahteraan negara,” jelasnya.
-SH