
Laporan/foto: Intan Iryani Mohamad/Basyar Abdullah (Alor Setar)
PENDANG, 7 Ogos (Malaysiaaktif) – Masyarakat digalakkan untuk membudayakan pengibaran Jalur Gemilang biarpun pada bukan sambutan Hari Kebangsaan.
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob, berkata masyarakat jangan hanya menunggu Hari Kebangsaan sahaja untuk mengibarkan Jalur Gemilang pada kenderaan dan kediaman masing-masing.
“Semangat patriotisme sepatutnya sentiasa berada dalam diri rakyat Malaysia sebagai mensyukuri kebebasan negara kita daripada penjajahan.
“Sekiranya mengibarkan jalur gemilang ini tidak dimulakan terutamanya pada Bulan Kebangsaan ini, kesedaran dan semangat patriotisme ini pastinya akan semakin pudar, lebih-lebih lagi pada masa kini, rakyat tidak perlu keluar berperang dan berkorban untuk negara.
“Justeru, tindakan mengibarkan Jalur Gemilang merupakan tindakan paling asas dalam menunjukkan kecintaan dan kepada negara kita,” katanya ketika merasmikan program Merdeka@Komuniti Konvoi Kibarkan Jalur Gemilang anjuran Pejabat Penerangan Daerah Pendang, di sini baru-baru ini.
Suraya turut berharap rakyat tidak hanya menunggu dan mengharapkan agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Penerangan yang saban tahun mengedarkan Jalur Gemilang secara percuma untuk dinaikkan di rumah dan premis masing-masing.
“Rakyat yang sayangkan negara perlu sedia berkorban dengan cara menaikkan bendera sebagai menyatakan kecintaan kepada negara,‘’ katanya.
Sementara itu, seorang penduduk, Ahmad Abdullah, 67, yang ditemui berkata, anak muda generasi kini perlu sentiasa diingatkan untuk mensyukuri nikmat kemerdekaan yang telah dicapai 63 tahun yang lalu.

Pejuang terdahulu telah berjuang habis-habisan memastikan negara bebas cengkaman penjajah – Ahmad Abdullah.
“Dulu para pejuang telah berjuang habis-habisan untuk memastikan negara kita bebas dari cengkaman penjajah.
“Jadi apalah salahnya kita sama-sama bersemangat menaikkan bendera bagi memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan ini,’’ katanya.
Seorang lagi peniaga, Che Mat Salleh, 58, turut menyatakan kepentingan setiap warga Malaysia mengibarkan Jalur Gemilang bersempena Hari Kebangsaan sebagai simbol penghargaan dan kebanggaan rakyat Malaysia.
“Rasa bangga ketika melihat Jalur Gemilang ditiup angin apabila dikibarkan di kenderaan dan rumah-rumah, sekali gus menjadi didikan yang bagus kepada anak-anak dalam menyemai semangat patriotisme, ‘’ katanya.
Konvoi kali ini turut melibatkan beberapa agensi seperti Pejabat Pusat Khidmat ADUN Sungai Tiang, Pejabat Daerah dan Tanah Pendang, Majlis Daerah Pendang serta Angkatan Pertahanan Awam Pendang.
-SH