Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Semangat Patriotik Perlu Dipupuk Seawal Usia Kanak-kanak

By 27 Ogos 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Fasharina Kholil/Yusmila Yusof (Sik)

SIK, 27 Ogos (Malaysiaaktif) – Semangat patriotik serta cintakan tanah air perlu diterap bukan sahaja dalam kalangan golongan dewasa malah ia perlu dipupuk sejak peringkat kanak-kanak lagi.

Menurut Guru Besar Sekolah Kebangsaan Seri Ampang Muda (SKSAM) Abdul Rahim Abdul Rashid, usaha menyemai serta memupuk semangat cintakan negara dalam kalangan generasi muda perlu terutama bagi membangkitkan semangat patriotik yang memerlukan kepada kegigihan, kesungguhan dan ketekunan.

“Walaupun dalam keadaan kita berdepan dengan pandemik COVID-19, penghayatan erti kemerdekaan perlu dilakukan secara berterusan dari tahun ke tahun supaya semangat tidak luntur dan jasa serta pengorbanan pejuang terdahulu tidak dilupakan.

“Semangat patriotisme serta cintakan negara haruslah diterap dalam diri setiap individu bukan sahaja dalam kalangan golongan dewasa bahkan perlu dipupuk sejak kanak-kanak lagi,” ujarnya ketika ditemui sempena Pertandingan Nyanyian Lagu Patriotik di sekolah tersebut baru-baru ini.

Pelajar-pelajar yang terlibat dalam pertandingan lagu patriotik.

Pelajar-pelajar yang terlibat dalam pertandingan lagu patriotik.

Menurut Abdul Rahim, kebiasaannya menjelang Bulan Kebangsaan, pelbagai acara dijalankan di setiap sekolah bagi menyemarakkan Sambutan Bulan Kebangsaan khususnya dalam kalangan pelajar, namun sambutan pada tahun ini agak sederhana.

“Walaupun sambutan pada tahun ini agak berbeza kerana perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan namun ia langsung tidak mematahkan semangat para guru serta pelajar.

“Seperti kelaziman pada tahun ini kami turut menjalankan Pertandingan Nyanyian Lagu Patriotik namun dengan normal baharu. Jika sebelum ini kami menjalankan pertandingan ini pada peringkat daerah dan juga negeri tetapi pada kali ini kami hanya menjalankan pertandingan di peringkat sekolah sahaja,” katanya.

-SH

Tinggalkan komen anda