
Laporan/foto: Noraidah Mat Seh/Muhammad Izhar Madsah (Jasin)
MELAKA, 2 Sep (Malaysiaaktif) – Merdeka@Komuniti menyusur ke segenap pelusuk Negeri Melaka bagi mengimarahkan Sambutan Hari Kebangsaan 2020 telah tiba ke Laman Tiga Budaya Asahan Melaka yang bersempadan dengan Negeri Sembilan dan Johor.
Menurut Exco Jawatankuasa Negeri Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Asahan, Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan, rakyat Malaysia bersama dalam suasana ceria dan gembira di bawah naungan bendera yang sama iaitu Jalur Gemilang. Semangat cintakan negara ini perlu digelorakan dengan memasang Jalur Gemilang di kediaman masing-masing.
“Saya percaya telah banyak banyak usaha dijalankan oleh Jabatan Penerangan untuk mengedarkan Jalur Gemilang dan pengisian aktiviti kenegaraan. Dalam hal ini, saya menyeru kepada semua untuk bersama-sama menunjukkan semangat patriotik mengibarkan Jalur Gemilang di semua kediaman, premis-premis perniagaan dan juga bangunan pejabat,” ujar Abdul Ghafaar.
Dalam pada itu, Pegawai Penerangan Daerah Jasin Azreen Ahmad, berkata beliau bersyukur berpeluang menjayakan Program Merdeka@Komuniti bersama masyarakat setempat di Laman Tiga Budaya, Asahan yang terletak di sempadan negeri Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.
“Bukan sahaja menjadi titik pertemuan antara tiga negeri malah kedudukannya di kaki Gunung Ledang menjadi lokasi menarik untuk dikunjungi dan kehadiran kita disini dapat membantu kerajaan bagi mempromosikan produk pelancongan rimba yang menjadi ikon kepada DUN Asahan,” ujar Azreen.
Dalam program sama seramai 126 peserta motosikal, 30 peserta kenderaan jabatan, badan bukan kerajaan dan swasta berkonvoi dalam Jelajah Aspirasi Merdeka@Komuniti akan menjelajah keseluruh negeri Melaka dengan jarak pemanduan sejauh 190 km.
Turut sama dalam program ini, Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Datuk Seri Abdul Raub Yusoh dan Pegawai Daerah Jasin Datuk Anis Ali Hasan.
-KN