
Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin/Mohammad Ezwandi Mohammad Radzi (Ipoh)
MERU, 16 Sep (Malaysiaaktif) – Usaha gigih dan kerjasama tinggi dalam kalangan rakan berbilang kaum demi menghasilkan sebuah video pendek sempena Hari Kebangsaan ternyata membuahkan hasil bagi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Taiping apabila dipilih menjadi pemenang dalam Pertandingan Video Pendek Bulan Kebangsaan 2020 Peringkat Negeri Perak.
Pelajar sekolah berkenaan, Aleeya Maisarah Ahmad Anuar, 15, berkata kemenangan mengungguli pertandingan ini bukanlah kemenangan pasukan semata-mata malah turut didedikasikan buat seluruh warga SMK Convent Taiping.
“Kemenangan ini amat manis kerana kami tidak menyangka sama sekali terpilih sebagai Johan bahkan dapat bertemu dengan sultan kesayangan rakyat, Sultan Perak dan Raja Permaisuri Perak.
“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat termasuk bapa selaku videografer selain pihak penganjur, ibu bapa, guru dan rakan-rakan,” kata Aleeya.

Sultan Perak turut berkenan berangkat ke Majlis Jamuan Teh dan Penyampaian Hadiah Sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2020 Negeri Perak, di sini semalam.
Penghasilan video bertajuk “Malaysia Prihatin” itu mengambil masa dua hari termasuk rakaman dan suntingan selain berlatarbelakangkan Taman Tasik Taiping.
“Hadiah kemenangan akan dibahagi sama rata kepada kesemua 16 orang rakan yang terlibat dalam video ini,” tambah Aleeya.
Dalam pertandingan sama, Naib Johan dimenangi oleh Ravi Kumar Thanga Raja dengan video bertajuk “Merdeka” manakala tempat ketiga dimenangi oleh Muhammad Haziq Qamaruzzaman Mohd Rohaizad dengan tajuk “Malaysia Prihatin”.
Pemenang mambawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM3,000 (Johan), RM2,500 (Naib Johan) dan RM2,000 (Ketiga) berserta plak selain lima orang pemenang hadiah saguhati menerima wang tunai RM500.
Pertandingan Video Pendek Hari Kebangsaan 2020 Negeri Perak merupakan anjuran Kerajaan Negeri dengan kerjasama Jabatan Penerangan Perak.
-SH