
Laporan/foto: Haniza Harun (Melaka)/SKM
MELAKA, 2 Okt (Malaysiaaktif) – Suruhanajaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Melaka komited membantu gerakan koperasi di negeri ini menjalankan aktiviti perniagaan supaya dapat menghasilkan pulangan yang maksimum sewaktu tempoh pasca Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Disember ini dengan mengadakan Program Hari Jualan dan Pemeran Pasar Lambak Koperasi 2020.
Pengarah SKM Melaka Mohd Firdaus Shaari, berkata program berkonsepkan ala pasar jualan merupakan inisiatif SKM dalam memasarkan produk-produk hasil keluaran pengusaha-pengusaha koperasi kepada orang ramai, sekali gus membuka ruang kepada usahawan koperasi memperluaskan jaringan pasaran perniagaan dan meningkatkan pendapatan mereka.
“Di tapak jualan dan pameran pengunjung ditawarkan dengan pelbagai produk menarik seperti makanan, buah-buahan, pakaian dan perkhidmatan berkaitan koperasi termasuklah jualan produk pengusaha koperasi yang dijual pada harga yang berpatutan,” katanya ketika ditemui sempena program berkenaan, di sini baru-baru ini.
Program melibatkan 15 buah koperasi di negeri tersebut itu mendapat sambutan baik daripada anggota-anggota koperasi dan orang awam.
Usahawan Biskut Tongkat Simpang Bekoh Jasmin Alias, berkata pasar lambak yang dianjurkan ini secara tidak langsung membuka peluang anggota-anggota koperasi mempromosikan produk-produk keluaran tempatan dengan lebih meluas.
“Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang disediakan oleh kerajaan untuk Pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS) beberapa bulan lepas membuktikan sokongan padu kerajaan dan institusi kewangan kepada PKS supaya terus berdaya maju, khusunya dalam menghadapi cabaran ekonomi yang suram akibat COVID-19,” katanya.
-SH