
Laporan/foto: Wan Malini Wan Abd. Razak (PMM)
MERLIMAU, 9 Nov (Malaysiaaktif) – Jabatan Perdagangan (JP) Politeknik Merlimau (PMM) buat julung kalinya mengadakan Program Accounting Festival 2020 (AccFest2020) secara dalam talian sebagai alternatif pelaksanaan program bersama-sama pelajarnya.
Pengarah Politeknik Merlimau Mohd Hatta Zainal, berkata penganjuran program seumpama ini merupakan inisiatif yang sangat baik dan perlu diteruskan pada masa akan datang memandangkan pandemik COVID-19 semakin berpanjangan.
“Walaupun terdapat kekangan dalam melaksanakan aktiviti secara fizikal, namun perkara ini tidak menjadi penghalang untuk menjayakan sesebuah program terutamanya penglibatan para pelajar yang kini tidak berada di kampus sebaliknya di rumah atau di tempat tinggal masing-masing,” ujar beliau usai majlis penutupan program tersebut, di sini baru-baru ini.

Hatta (dua dari kiri) bersama Ketua Jabatan Perdagangan, Pegawai Perhubungan Awam dan Ketua Program Diploma Akauntansi pada Majlis Penutupan AccFest 2020.
Ketua Jabatan Perdagangan Haniza Baharom, pula berkata disebabkan berlakunya pandemik COVID-19 ini, para pensyarah JP terpaksa melakukan anjakan paradigma yang mana segala aktiviti perlu dirancang dan dilaksana menerusi dalam talian mengikut keperluan semasa.
“Perkara ini sedikit sebanyak menjadi titik perubahan kepada kami khususnya para pelajar dengan meneroka norma baharu dan sentiasa bersikap progresif serta proaktif dalam apa jua yang akan dihadapi.
“AccFest 2020 yang diadakan selama lima hari ini bermula 2 November lalu merupakan usaha jawatankuasa bertujuan menyediakan persekitaran pembelajaran transformatif dan kreatif dalam kalangan pelajar selain mengikuti kuliah, melaksanakan tugasan atau kerja amali di kelas,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Program Abdul Rashid Husain, berkata antara pengisian AccFest2020 kali ini adalah program bersama Pensyarah Pelawat Industri (PPI) seperti Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA), Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Melaka dan Penasihat Undang-Undang Syarikat Korporat yang dilaksanakan menerusi platform MS Team.
“Menerusi program tersebut, ia dapat memberi pendedahan kepada para pelajar tentang hala tuju sebagai pelajar akauntansi dan mewujudkan pemikiran akauntan digital pada masa kini.
“Program ini turut disertai oleh 30 orang pelajar Diploma Komputerasasi Akuntansi dari Universiti Srivijaya, Indonesia yang ingin berkongsi idea dan pengetahuan, selain turut diadakan beberapa pertandingan bagi memupuk semangat berdaya saing dalam kalangan pelajar,” katanya yang juga pensyarah Diploma Akauntansi Jabatan Perdagangan PMM.
-SH