Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanNegeri Sembilan

Pembelajaran Dalam Talian Undang Pelbagai Reaksi

By 20 November 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Hamidah Md Drus (Kuala Pilah)

KUALA PILAH, 19 Nov (Malaysiaaktif) – Penutupan sekolah yang diumumkan selaras dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak mematahkan semangat para pelajar, guru dan pihak pentadbiran sekolah untuk meneruskan sesi pembelajaran secara dalam talian.

Menurut Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Juasseh Chitra Joseph, walaupun menghadapi kesukaran untuk mempraktikkan pembelajaran secara dalam talian namun itu bukan alasan pihak guru tidak meneruskan sesi pembelajaran.

“Kebanyakan pelajar di sini tinggal di kawasan yang tidak mempunyai capaian talian internet yang baik, namun pelbagai langkah digunakan seperti menggunakan Google Classroom, Telegram dan sebagainya bagi memudahkan para pelajar.

“Pelajar juga telah dibekalkan dengan nota dan latihan yang berkaitan untuk diselesaikan sebelum sekolah bercuti pada pertengahan bulan Disember ini,” katanya

Tambah beliau, pihaknya menyambut baik langkah kerajaan menutup sekolah bagi mengelakkan penularan pendemik COVID-19, namun demikian cabarannya pasti ada untuk memastikan murid-murid sentiasa belajar walaupun tidak bersemuka.

Menurut salah seorang pelajar tahun enam SJKT Ladang Juasseh, J. Felix Declan, beliau masih memilih untuk belajar secara bersemuka kerana ia lebih mudah difahami, namun, beliau tidak menolak untuk belajar secara dalam talian.

“Ia menjadi agak sukar untuk meneruskan pembelajaran secara dalam talian apabila capaian internet tidak memuaskan dan saya berharap agar COVID-19 ini akan segera berakhir agar saya dapat ke sekolah semula,” ujarnya ketika ditemui.

Dalam pada itu, guru Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Abdul Samad, Norazah Abdul Hamid, berkata pihaknya telah pun mengaplikasikan pembelajaran secara dalam talian sebelum ini.

“Saya yakin dengan adanya pengalaman tersebut guru dan pelajar telah menyesuaikan diri dengan norma baharu ini dan ia amat penting bagi pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Februari depan,” ujarnya.

-AK

Tinggalkan komen anda