Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

MOCN Digunakan Buat Kali Pertama Sedia Liputan 4G kepada Penduduk Bukit Selambau

By 11 Disember 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 11 Dis (Malaysiaaktif) – Teknologi pemancar terkini, Multi-Operator Core Network (MOCN) digunakan buat pertama kali di Semenanjung Malaysia bagi memberikan perkhidmatan 4G kepada penduduk Ladang UP Bahagian Bukit Selambau di Kedah, demikian menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

MCMC berkata MOCN membolehkan keempat-empat penyedia perkhidmatan iaitu Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile menggunakan hanya satu set peralatan untuk memberikan perkhidmatan 4G di kawasan itu sejak beberapa hari lalu.

Menurut MCMC, peralatan itu dipasang pada menara sementara setinggi 30 meter yang dibina khas untuk menyelesaikan masalah penduduk di kawasan tersebut.

“Selain menjimatkan masa dan kos peralatan, teknologi MOCN memberi kualiti perkhidmatan yang baik,” menurut MCMC dalam satu kenyataan hari ini.

MCMC berkata pembinaan infrastruktur dapat dilaksanakan segera kerana mendapat kerjasama penuh daripada kerajaan Kedah dan Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) yang menggunakan pendekatan memberi kelulusan khas untuk memulakan kerja pembinaan lebih awal sementara menunggu kelulusan penuh daripada MPSPK.

Menurut MCMC, tinjauan dalam kalangan penduduk jelas menunjukkan kegembiraan penduduk apabila capaian jalur lebar yang kini dianggap sebagai keperluan asas sudah dapat dinikmati untuk melancarkan pelbagai urusan.

Penternak ayam daging, Venggadeswaran Subramaniam, 26, berkata beliau dulunya tertekan untuk membuat transaksi kewangan dengan syarikat pembekal ayam dan ada kalanya tidak dapat membalas e-mel daripada pihak syarikat tersebut.

“Ada juga waktu saya terlepas pengumuman penting berkenaan penternakan yang dikeluarkan oleh syarikat pembekal dan pihak kerajaan. Tapi, selepas adanya kemudahan Internet ini saya berasa lega,” katanya.

Pelajar Kolej Antarabangsa Sains Perubatan PUSRAWI (PICOMS), Siti Nor Dalilawati Syahrin, 20, merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak yang terlibat dalam membantu menyelesaikan masalah di kawasan tersebut.

“Selepas ini, tidak akan ada lagi masalah untuk saya belajar dan menghadiri kelas online dan saya tidak perlu bersusah payah lagi untuk keluar atau menaiki bukit untuk mencari line. Bukan saya sahaja, malahan adik-adik saya serta kawan-kawan yang lain juga turut gembira kerana adanya liputan talian,” katanya.

— BERNAMA

 

Tinggalkan komen anda