
Foto: Infografik KKM
PUTRAJAYA, 10 Jan (Malaysiaaktif) – Kes harian baharu COVID-19 di Malaysia terus mencatat empat angka dengan 2,451 kes baharu dilaporkan, manakala 1,401 kes sembuh dan masing-masing lima kluster baharu dan kematian direkodkan.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sehingga hari ini, jumlah kes positif sebanyak 133,559 kes manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 26,185 kes.
“Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat lima kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula sebanyak 2,446 kes.
“Bagi kes penularan dalam negara, 1,858 kes adalah warganegara Malaysia dan 588 kes bukan warganegara,” katanya dalam kenyataan semalam.
Selangor, kata beliau, kekal mencatat kes harian baharu tertinggi sebanyak 564 kes diikuti Sabah 409 kes dan Negeri Sembilan 351 kes.
Beliau berkata daripada 564 kes di Selangor, 342 kes adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 di lapangan.
Dr Noor Hisham berkata kes kematian pula membabitkan lima lelaki warganegara berusia 60 hingga 87 tahun dengan tiga daripadanya meninggal dunia di Johor dan dua di Selangor, kesemuanya mempunyai latar belakang penyakit kronik.
Katanya, sehingga kini juga terdapat 177 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi dengan 82 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Daripada keseluruhan kes baharu hari ini, beliau berkata 327 kes daripadanya berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan sebanyak 291 kes, Kluster Telok Mas (17), Kluster Tembok Gajah (9), Kluster Damai Pelangi (8), Kluster Pagar Siput (1) dan Kluster Tembok Choh (1).
— BERNAMA