Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

3,170 Kes Baharu, 16 Lagi Kluster Dikesan

By 22 Januari 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 22 Jan (Malaysiaaktif) – Sebanyak 16 lagi kluster baharu COVID-19 dilaporkan, termasuk 11 daripadanya adalah kluster di tempat kerja sementara 3,170 kes baharu direkodkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata kluster di tempat kerja membabitkan dua di Kuala Lumpur iaitu Kluster Jalan Terolak dan Kluster Pasar Borong KL; di Johor melibatkan Kluster Seri Bayu, Kluster Tampoi Tujuh dan Kluster Jalan Sempadan serta Kluster Kota Muhibbah dan Jalan Slim masing-masing di Perak.

Juga kluster di tempat kerja adalah Kluster Silimpopon dan Ladang Sebrang (Sabah); Kluster Orion di Kedah serta Kluster Jalan Canang Emas di Selangor.

“Kluster aktiviti keagamaan pula Kluster Taman Sejahtera di Perak, sementara kluster kumpulan berisiko adalah Kluster Mandin Jaya (Pulau Pinang) dan Kluster Jalan Kelapa (Selangor) serta dua kluster jangkitan komuniti ialah Kluster Kampung Tanah Merah (Terengganu) dan Kluster Gunung Raya (Kedah),” katanya.

Bercakap pada sidang media perkembangan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan (KKM), beliau berkata pengesanan kluster baharu itu menjadikan jumlah kluster kini 701 dengan 327 kluster yang masih aktif.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata daripada 3,170 kes baharu hari ini, 3,162 kes adalah jangkitan tempatan manakala lapan kes import, menjadikan menjadikan jumlah kes aktif mencecah 41,755.

Beliau berkata Kuala Lumpur mencatatkan kes tertinggi iaitu 576, diikuti Selangor (545), Johor (423), Sabah (401), Perak (245), Pulau Pinang (171), Kedah (156), Kelantan (135), Sarawak (132), Melaka (106) dan 102 kes di Negeri Sembilan.

“Baki negeri lain pula mencatatkan dua angka iaitu Terengganu dengan 57 kes, Pahang (48), Putrajaya (33) manakala Labuan 32 kes serta Perlis dengan lapan kes,” katanya.

Dr Noor Hisham juga berkata terdapat 260 kes positif COVID-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 103 daripada mereka, memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 2,490 kes pulih dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada jangkitan COVID-19 adalah sebanyak 130,152 kes atau 75.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda