Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanNegeri Sembilan

PKP Tidak Jejas Aktiviti Solat Berjemaah di Negeri Sembilan

By 22 Januari 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Shaharudin Suratman (Seremban)

SEREMBAN, 22 Jan (Malaysiaaktif) – Seluruh daerah di Negeri Sembilan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepenuhnya, namun semua masjid dan surau tetap dibenarkan beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh pelaksanaan perintah tersebut.

Pegawai Masjid Negeri Muzammil Amir Hamzah, berkata pengumuman yang dibuat oleh Menteri Besar Negeri Sembilan itu merupakan satu rahmat pada seluruh umat islam di negeri ini.

“Pelaksanaan solat Jumaat dan solat fardu di sini sepanjang tempoh PKP dibenarkan dengan kehadiran jemaah berdasarkan kapasiti ruang masjid dan surau serta jemaah yang hadir perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta garis panduan dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS),” katanya ketika ditemui, di Masjid Negeri Seremban, di sini hari ini.

Tambahnya setiap ahli jemaah diwajibkan membawa sejadah sendiri yang bersaiz besar, memakai pelitup muka, perlu mengambil wuduk di rumah dan mematuhi had keluasan melakukan ibadah dalam ruang utama masjid sahaja.

“Bagi pelaksanaan solat jumaat di Masjid Negeri hari ini, jumlah jemaah yang dibenarkan hadir hanya 1500 orang berbanding kapasiti sebenar masjid ini yang boleh memuatkan seramai 3000 jemaah dalam satu-satu masa,” ujarnya.

Bagi jemaah Muhammad Firdaus Abd Halim, kebenaran menunaikan solat di masjid dan surau ini disambut baik oleh orang ramai terutamanya umat islam yang bekerja di sekitar Bandar Seremban ini.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pihak berkuasa agama negeri ini yang memberikan kebenaran ini dan diharapkan agar semua Jemaah dapat mematuhi SOP yang ditetapkan pihak berkuasa,” katanya.

-AK

Tinggalkan komen anda