Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Orang Awam Halang Kejadian Samun di Gombak

By 24 Januari 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/IPD Gombak

GOMBAK, 24 Jan (Malaysiaaktif) – Dua lelaki yang menaiki motosikal gagal menyamun seorang wanita apabila berjaya diberkas orang awam dalam satu kejadian berhampiran Sekatan Jalan Raya (SJR) berhampiran Plaza Tol Gombak, kelmarin.

Kejadian berlaku sekitar pukul 10.10 pagi setelah salah seorang suspek bertindak memecahkan cermin bahagian penumpang hadapan kereta wanita berusia 32 tahun itu serta mengambil beg tangan lalu melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata ketika suspek cuba melarikan diri, seorang pemandu bertindak membuka pintu lorinya menyebabkan suspek melanggarnya lalu terjatuh.

“Pemandu lori bersama beberapa orang awam berjaya menangkap kedua-dua suspek dan menyerahkan kepada anggota polis bertugas di SJR Tol Gombak bersama barang rampasan.

“Pihak polis kemudian telah membuat tangkapan semula ke atas kedua-dua suspek,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Motosikal yang digunakan suspek dalam kejadian samun berhampiran Plaza Tol Gombak semalam.

Motosikal yang digunakan suspek dalam kejadian samun berhampiran Plaza Tol Gombak semalam.

Arifai berkata, ketika kejadian, mangsa yang datang dari arah Bentong sedang menunggu giliran dalam kesesakan untuk menghampiri SJR Plaza Tol Gombak.

“Siasatan mendapati motosikal yang digunakan suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu dan masih dilaporkan hilang di Taman Melawati dan pemeriksaan ke atas beg bimbit suspek telah menjumpai dua kad pengenalan orang lain yang dilaporkan disamun di kawasan Sentul dan Brickfields pada hari yang sama.

“Kejadian dilaporkan berlaku di persimpangan lampu isyarat dengan menggunakan modus operandi yang sama iaitu memecahkan cermin kereta,” jelasnya.

Beliau berkata dengan tertangkapnya kedua-dua suspek ini, pihak polis percaya berjaya menyelesaikan empat kes jenayah yang berlaku di daerah Gombak dan di Kuala Lumpur setakat ini.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan suspek berusia 24 serta 28 tahun itu ditahan reman selama lima hari sehingga 27 Januari ini untuk siasatan lanjut.

“Pihak polis mengucapkan terima kasih atas kerjasama dan keperihatinan orang ramai yang membantu menangkap suspek tersebut seterusnya menyerahkan mereka kepada polis,” katanya.

-SH

Tinggalkan komen anda