
Laporan/foto: Uraidah Zetti Md Arifin (Kemaman)
KEMAMAN, 24 Jan (Malaysiaaktif) -Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri termasuk Terengganu selama 14 hari menimbulkan kelegaan kepada peniaga Pasar Segar Terkawal (PST) di Daerah Kemaman apabila kerajaan membenarkan perniagaan beroperasi seperti biasa.
Pengerusi Pasar Segar Terkawal Chukai Kemaman Rosli Amat, 53, berkata dia mewakili peserta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang berniaga di PST bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana masih memberi peluang kepada peserta FAMA berniaga di PST ini sepanjang tempoh PKP 2.0 ini.

Rosli Amat, 53, Pengerusi Pasar Segar Terkawal Chukai, Kemaman berterima kasih kerana kerajaan memberi peluang peniaga berniaga ketika PKP 2.0 dikuatkuasakan.
“Saya lihat semua pengunjung dan peniaga mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) seperti memakai pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal, menyukat suhu badan serta mengikut laluan sehala bagi mengelak kesesakan di pasar,” katanya ketika ditemui, di sini semalam.
Bagi seorang peserta FAMA, Tuan Mustafa Tuan Abu Bakar, 58, dari Jalan Da Omar, memberitahu dia berasa lega kerana dapat berniaga seperti biasa namun mengakui bilangan pengunjung tidak ramai semenjak penguatkuasaan PKP 2.0 berbanding dengan hari biasa.
Berkongsi nada sama, Razali Mohd Diah, 46, bersyukur kerana diberi kelonggaran untuk berniaga pada Pelaksanaan PKP kali ini berbanding pelaksanaan perintah kawalan yang sama tahun lalu.
“Saya rasa bersyukur kerana pintu punca pendapatan saya tidak tertutup dalam pelaksanaan PKP 2.0 sekarang walaupun berlaku pengurangan pendapatan sedikit kali ini tetapi pada saya lebih baik berbanding ketika PKP pada Mac tahun lalu dikuatkuasa kerana ramai peniaga tidak dapat berniaga selama beberapa bulan,” katanya.

Razali Mohd Diah, 46 tahun, peserta FAMa, dari Kampung Binjai luah rasa syukur kerana punca pendapatan tidak tertutup ketika PKP 2.0.
Menurut seorang pengunjung PST Chukai, Nor Fajarwati Osman, 35, dari Kampung Besut, beliau lebih suka membeli di sini kerana harga sayur, ikan, buah-buahan dan lain-lain lebih murah dan segar berbanding pasaran luar.
“Saya juga lebih selesa membeli di PST kerana ruang dan tempatnya lebih terbuka dan kurang sesak berbanding di pasar raya atau pasar basah,” katanya.
-ii-