
Laporan/foto: Abdul Hadi Abdul Ghani (Semporna)
SEMPORNA, 25 Jan (Malaysiaaktif) – Presiden Persatuan Angkatan Belia Hebat Semporna, Muhammad Suffian Pg. Hindi menggesa kerajaan negeri dan juga persekutuan memberi perhatian lebih terhadap masalah liputan jalur lebar, khususnya bagi keperluan pendidikan.
“Banyak laporan yang kita dengar berlaku di Sabah, anak-anak masuk ke hutan, mendaki bukit, memanjat pokok, dan ada yang terjatuh dari jambatan gantung seperti mana yang berlaku kepada tiga orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Ulu Sugut November tahun lalu hanya semata-mata untuk mendapatkan liputan internet bagi melunaskan sesi pembelajaran mereka.
“Situasi ini pastinya tidak selamat kepada para pelajar dan guru terutama ketika berada di hutan kerana mereka mungkin akan terdedah dengan bahaya serangan binatang buas atau serangga berbisa dan perkara sebegini turut berlaku di Semporna,” katanya ketika dihubungi, di sini baru-baru ini.
Menurut Muhammad Suffian, kelemahan liputan internet juga masih lemah di beberapa kawasannya di Semporna, meskipun ianya terletak hanya di beberapa kampung dan kepulauan.
“Sudah tiba masanya kerajaan mempercepatkan penambahan menara telekomunikasi terutama di kawasan luar bandar demi kemudahan guru dan para pelajar menjalani kelas dalam talian ketika ini.
“Ini kerana kemudahan tersebut amat penting kepada para guru dan pelajar luar bandar ketika ini, terutama di negeri ini bagi memenuhi sesi pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian khususnya ketika situasi pandemik COVID-19 yang membataskan sesi pembelajaran secara bersemuka.
“Kemudahan internet merupakan antara fasiliti asas yang harus menjadi tumpuan ketika ini kerana kebelakangan ini semakin banyak laporan kesukaran murid dan penuntut universiti mendapat akses internet untuk menghadiri kelas tertutama ketika sesi ujian atau peperiksaan,” katanya.
-SH