
Laporan/foto: Muhammad Lukmannul Hakim (Johor)
JOHOR BAHRU, 5 Feb (Malaysiaaktif) – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Johor di Bandar Baru Uda Johor Bahru menjadi tumpuan orang ramai yang ingin membuat permohonan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) 2021 dan mengemaskini maklumat diri, di sini semalam.
Tinjauan mendapati orang ramai yang berbaris panjang sehingga ke luar pagar premis berkenaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seperti penjarakan sosial dan memakai pelitup muka.
Menurut Vakia Rajah, 33, beliau ke pejabat LHDN ini bagi melengkapkan permohonan BPR yang dibuatnya.
“Saya telah kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan akibat penularan COVID-19 yang melanda negara.

Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) sangat membantu saya dan keluarga disaat pandemik COVID-19 ini – Vakia Rajah
“BPR yang diumumkan kerajaan menerusi Bajet 2021 amat membantu meringankan beban saya dan keluarga dalam meneruskan kelangsungan hidup,” katanya ketika ditemui, di sini semalam.
Vakia berharap situasi pandemik di Malaysia akan bertambah baik dan beliau dapat kembali bekerja semula.
Seorang pemohon BPR 2021, Azfar Tahir, 45, yang ditemui berasa berpuas hati dengan sistem yang digunakan oleh pihak LHDN Johor Bahru dalam menangani kehadiran orang ramai secara serentak.
“Saya bersyukur dengan bantuan yang diberikan oleh kerajaan yang mana keputusan ini dilihat tepat kerana ia amat membantu meringankan beban golongan yang terjejas akibat wabak COVID-19 ini.

Azfar Tahir berpuas hati dengan sistem yang digunakan dan kecekapan kakitangan LHDN Johor Bahru dalam melayani orang ramai yang hadir untuk membuat permohonan serta mengemaskini maklumat diri.
“Kakitangan LHDN Johor Bahru juga begitu cekap melayani orang ramai yang ingin membuat permohonan serta mengemaskini maklumat diri tanpa perlu menunggu lama,” ujarnya.
LHDN turut membuka enam kaunter di bahagian lobi bangunan berkenaan bagi memudahkan urusan orang ramai mengikut SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan dengan menghadkan jumlah pengunjung di dalam bangunan dalam satu-satu masa.
Waktu operasi untuk kaunter bantuan khas kerajaan di LHDN Johor Bahru akan bermula pukul 8 pagi hingga 1 tengah hari pada hari bekerja.
Orang ramai juga boleh membuat permohonan secara atas talian di laman sesawang bpr.hasil.gov.my atau memuat turun borang permohonan dan dihantar ke cawangan LHDNM yang terdekat.
-NI-