
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Petaling)/IPD Gombak
RAWANG, 18 Feb (Malaysiaaktif) – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak memaklumkan batu penghadang jalan yang diletakkan di Kilometer 20 Jalan Rawang-Sungai Choh untuk menyekat pergerakan rentas daerah.
Ianya turut bertujuan sebagai salah satu inisiatif dalam memutuskan rantaian jangkitan virus Covid 19.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata batu penghalang itu hanya akan dialihkan sekiranya pergerakan rentas daerah dibenarkan.
“Batu penghadang tersebut dipasang pada 13 Januari lalu di sempadan daerah Gombak dan Hulu Selangor apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilaksanakan.
“Pengguna jalan raya sudah dimaklumkan supaya menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Rawang Bypass,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Arifai berkata sebelum ini isu sama juga pernah tular pada 30 Januari dan pada 3 Februari lalu yang dimuat naik dan dikongsi netizen melalui media sosial.
“Ketika PKP 1.0, batu penghadang yang sama juga pernah didirikan di lokasi tersebut dan sudah dibuka semula apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.
“Orang ramai diminta bekerjasama dan bersabar sedikit dalam situasi sukar ini, batu penghadang itu akan dibuka apabila pergerakan rentas daerah dibenarkan,” katanya.
Terdahulu, tular di facebook gambar yang menunjukkan beberapa orang sedang mengusung keranda melepasi batu penghadang jalan yang dipasang di Kilometer 20 Jalan Rawang-Sungai Choh.
-NAZ