
Laporan/foto: Mazlin Basir/Mohd Saipul Nizam Ibrahim (Batu Pahat)
BATU PAHAT, 22 Feb (Malaysiaaktif) – Daerah Batu Pahat telah menetapkan Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim sebagai Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) COVID-19 sempena Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di kawasan tersebut.
Menurut Pegawai Perubatan selaku Penyelaras Program Dr Mohd Khalid Al Walid Abas, kumpulan sasar di daerah ini bagi pemberian vaksin untuk fasa pertama adalah seramai 3,873 yang melibatkan para petugas barisan hadapan, fasa kedua untuk 40,872 pesakit berisiko tinggi manakala fasa ketiga melibatkan 230,000 penduduk berumur 18 tahun dan ke atas.
“Daripada jumlah 3,873 petugas barisan hadapan, 2,115 orang merupakan para petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), 512 orang daripada pegawai kesihatan swasta dan 1,246 orang bukan kesihatan akan menerima vaksin tersebut.
“Antara agensi yang akan menerima vaksin ini ialah Pejabat Kesihatan Daerah, Hospital Sultanah Nora Ismail Batu Pahat, Pergigian Batu Pahat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lain-lain yang merangkumi 18 agensi dalam daerah ini,” katanya semasa sesi taklimat sempena lawatan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, di sini semalam.
Tambah beliau, untuk fasa kedua seramai 40,872 orang akan menerima suntikan bermula dari bulan April hingga Ogos 2021 yang melibatkan 750 suntikan sehari manakala fasa ketiga akan bermula dari bulan Mei 2021 hingga Februari 2022 yang membabitkan 2118 suntikan sehari.
“Dewan Jubli Intan ini boleh menempatkan lima stesen suntikan di mana setiap stesen boleh menyuntik 12 hingga 24 orang sejam.
“Kapasiti satu dewan tidak mampu menampung jumlah anggaran suntikan sebanyak hampir 3000 suntikan sehari, oleh itu terdapat dua dewan lagi yang dikenalpasti sesuai untuk digunakan sebagai Pusat Pemberian Vaksin iaitu Dewan Serbaguna Parit Raja dan Dewan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM),” ujarnya.
Turut hadir, Pegawai Daerah Batu Pahat Ismail Abu dan Ketua Pejabat Kesihatan Daerah Batu Pahat Dr Shahril Azian Masrom.
-NI