Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Musim Angin Timur: Pengusaha Air Kelapa Jana Pendapatan Lumayan

By 25 Februari 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Ahmad Burhanuddin Helmi/Anuar Che Amat (Kangar) 

KANGAR, 25 Feb (Malaysiaaktif) – Musim angin timur atau cuaca panas yang melanda negeri ini membuka pintu rezeki buat para peniaga air kelapa muda di sini.

Menurut peniaga air kelapa Noraini Salim, 55, yang mengusahakan perniagaan air kelapa sejak empat tahun lalu di Kampung Alor Setar, permintaan terhadap air kelapa semakin meningkat apabila bermulanya musim panas di negeri ini.

“Ketika cuaca panas ini, jualan seharian saya boleh mencecah hampir RM200 sehari.

“Bagi memenuhi permintaan yang tinggi, bekalan buah kelapa saya perolehi dari penduduk di sekitar kampung ini,” katanya ketika ditemui di gerainya, di sini, semalam.

Tambah beliau, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) banyak membantu perniagaannya.

Nasuha Sofia sedang memilih buah kelapa untuk dijual kepada pelanggannya.

Nasuha Sofia sedang memilih buah kelapa untuk dijual kepada pelanggannya.

“RISDA membekalkan peralatan-peralatan perniagaan yang diperlukan seperti meja, kerusi dan tempat bancuhan air.

“Saya amat berterima kasih di atas bantuan ini yang secara tidak langsung dapat membantu melancarkan perniagaan saya dan meningkatkan hasil pendapatan,” ujarnya.

Beliau yang mesra dengan panggilan Kak Ani turut dibantu tiga orang anaknya untuk menguruskan perniagaannya yang beroperasi setiap hari bermula jam 8.00 pagi sehingga 5.30 petang.

Nasuha Sofia Said, 15, beliau membantu ibunya bagi menimba pengalaman dan mencari pendapatan sampingan sebelum sesi persekolahan dibuka.

Seorang pelanggan yang ditemui, Ramli Bakar, 63, berkata beliau selalu membeli air kelapa di gerai ini untuk menghilangkan dahaga.

“Air kelapa sejak dahulu memang mempunyai khasiatnya yang tersendiri dan sentiasa mendapat sambutan terutama pada waktu cuaca panas,” ujarnya lagi.

Noraini memaklumkan walaupun gerainya dikunjungi ramai pelanggan terutama pemandu lori yang singgah untuk menikmati air kelapa, beliau sentiasa memastikan mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti sentiasa memakai pelitup muka, menjaga penjarakan sosial dan mencuci tangan dengan cecair sanitasi.

-NI-

Tinggalkan komen anda