
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/KASA
SHAH ALAM, 3 Mac (Malaysiaaktif) – Lima kawasan di negeri Selangor mencatatkan Indek Pencemar Udara (IPU) tidak sihat yang direkodkan pukul 4 petang semalam.
Kawasan tersebut iaitu Johan Setia, Klang yang mencatatkan bacaan IPU 188, Banting (167), Petaling Jaya (133), Klang (107) dan Shah Alam (104).
Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata punca kualiti udara tidak sihat disebabkan peningkatan kes pembakaran terbuka dalam negara susulan keadaan cuaca panas dan kering yang bermula sejak pertengahan Februari lalu.
“Keadaan sedikit berjerebu di Lembah Klang yang dialami pada hari ini (Selasa) berpunca daripada kejadian kebakaran hutan dan tanah gambut di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan seluas 34 hektar sejak 24 Februari.
“Pembakaran terbuka daripada aktiviti pertanian tanah gambut di Johan Setia, Klang melibatkan keluasan tiga ekar sejak 5 Februari telah menyebabkan kualiti udara tidak sihat di kawasan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Mengulas lanjut, beliau turut mengarahkan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk menjalankan siasatan dan tindakan penguatkuasaan terhadap kes-kes pembakaran terbuka.
“Pihak JAS juga telah menyediakan enam kertas siasatan, mengeluarkan satu kompaun dan empat notis arahan serta arahan di lapangan.
“Tindakan tegas telah diambil kepada pemilik tanah, operator tapak pelupusan sampah dan pelaku yang menyebabkan pembakaran terbuka yang menjejaskan kualiti udara,” ujar beliau.
-SH