
Laporan/foto: Mohd. Azwan Mohamad/Merusin Minuddin (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 4 Mac (Malaysiaaktif) – Penyertaan Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran (MTQ) Peringkat Negeri Sabah pada tahun ini tidak lagi dimonopoli muka-muka lama.
Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Arifin Mohd Arif berkata sebahagian daripada peserta acara tahunan itu kini disertai muka-muka baharu yang akan mewarnai dan mempelbagaikan lagi bentuk persembahan.
“Peserta baharu pada tahun ini majoritinya adalah daripada golongan muda yang akan menjadi pelapis kepada qari dan qariah yang sudah lama berkecimpung dalam bidang ini.
“Keadaan ini amat baik bagi memastikan Negeri Sabah dapat melahirkan qari dan qariah yang mampu bersaing pada peringkat antarabangsa.
“Saya berharap dengan kepelbagaian penyertaan MTQ pada tahun ini, kita akan dapat meningkatkan lagi kualiti setiap peserta dan memastikan kesinambungan ini akan berterusan bagi meningkatkan minat orang ramai untuk menyertai bidang ini,” ujar beliau.
Arifin ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin, di Istana Negeri semalam.
Kunjungan tersebut diadakan bertujuan menjemput Tun Juhar untuk menyampaikan hadiah kepada qari dan qariah sempena MTQ 1442H/2021M yang akan diadakan hari ini.
-SH