
Laporan/foto: Azreen Ahmad (Jasin)
MELAKA, 17 Mac (Malaysiaaktif) – Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali, berkata kerajaan negeri tiada halangan untuk membenarkan bazar Ramadan beroperasi pada tahun ini, selaras dengan inisiatif Melaka Bebas Berniaga seperti yang diumumkan dalam Belanjawan Negeri Melaka 2021.
“Namun pembukaan itu bagaimanapun bergantung keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan situasi semasa pandemik COVID-19 menjelang awal April nanti, sekiranya kes baharu COVID-19 menunjukkan pengurangan, pihak kami tiada halangan untuk memberi kebenaran kepada peniaga bazar Ramadan untuk kembali beroperasi.
“Tahun lalu bazar Ramadan di seluruh negeri tidak dibenarkan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun perniagaan secara dalam talian atau e-Bazar Ramadan adalah dibenarkan,” beliau berkata demikian semasa sidang media selepas merasmikan pelancaran Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ 2035) di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC), baru-baru ini.
Peniaga Putu Piring, Nurul Ain Leman, 41, berharap agar tahun ini beliau dapat berniaga di Bazar Ramadan bagi menambah pendapatan menyelang sambutan Aidilfitri.
“Saya berterima kasih kepada kerajaan negeri yang prihatin terhadap golongan peniaga.
“Inisiatif Melaka Bebas Berniaga sedikit sebanyak dapat meningkatkan ekonomi keluarga saya,” katanya.
-KN