
Laporan/foto: Nurul Ain Johari/Mohd Rafezan Shawal (Kulai)
KULAI, 18 Mac (Malaysiaaktif) – Kerajaan akan mengambil tindakan terhadap individu atau kumpulan yang menyebarkan maklumat yang tidak sahih mengenai suntikan vaksin COVID-19 sehingga mencetus keadaan panik kepada rakyat di negara ini.
Menurut Ketua Penolong Pegawai Daerah Kulai Mohd Mackeen Mohd Shafie, ketua kampung yang merupakan pemimpin paling hampir dengan masyarakat perlu menyalurkan maklumat-maklumat yang tepat berkenaan vaksin COVID-19.
“Semua ketua kampung perlu menggalas tanggungjawab yang diamanahkan dengan menggunakan platform yang telah disediakan bagi menghebahkan tentang Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan kepada para penduduk kampung.
“Selain itu, mereka juga harus memastikan penduduk di kawasan pentadbiran mereka mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 melalui saluran-saluran yang telah disediakan,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Taklimat Pemerkasaan Komuniti Mencegah COVID-19 di Pejabat Daerah Kulai, di sini baru-baru ini.
Tambah beliau, ketua kampung perlu memainkan peranan dengan menyampaikan maklumat-maklumat yang sahih bagi menangkis berita-berita palsu daripada terus disebarkan sehingga mencetus suasana panik dalam kalangan masyarakat.
“Masyarakat perlu merujuk kepada sumber yang sahih bagi mengelak daripada tertipu dengan dakyah yang diketengahkan kelompok antivaksin yang dikhuatiri berpandukan maklumat tidak tepat.
“Mereka perlu diberi kesedaran mengenai kebaikan mengambil suntikan vaksin yang bukan sahaja akan melindungi diri mereka tetapi juga ahli keluarga dan komuniti dari jangkitan wabak COVID-19,” ujarnya.
Mohd Mackeen berkata vaksinasi amat penting untuk membentuk imuniti berkelompok dengan memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk dewasa di negara ini menerima vaksin.
“Saya berharap taklimat yang diadakan pada hari ini, dapat merungkai segala kekeliruan dan membantu ketua kampung untuk memberi penerangan serta maklumat yang tepat kepada komuniti setempat mengenai vaksin COVID-19 dan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan,” ujarnya lagi.
-NI-