
Laporan/foto: Saberiya Patiroi (Kota Kinabalu)
PITAS, 20 Mac (Malaysiaaktif) – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) sasar bina 10 buah rumah Teratak Prihatin pada tahun ini.
Pengarah YADIM Negeri Sabah Samin Ongki, berkata kerjasama YADIM dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Program Jiwa Murni akan menyiapkan lapan buah rumah manakala dua buah rumah lagi bersama pihak lain sebelum penghujung tahun ini.
“Setakat hari ini, kita telah menyiapkan empat buah rumah dan tiga daripadanya menggunakan sepenuhnya kepakaran Skuadron Kelima Rejimen Askar Jurutera Diraja di Kota Belud, Papar dan Pitas.
“Pembinaan Teratak Prihatin ini adalah untuk membantu mereka yang kurang berkemampuan di samping meringankan beban yang ditanggung oleh golongan berkenaan,” ujarnya ketika dihubungi oleh pemberita.

Zambery (dua dari kanan) bersama Bakri (kiri), Samin (dua dari kiri) bergambar selepas selesai meninjau pameran laporan kemajuan projek tersebut.
Terdahulu, berlangsung penyerahan kunci rumah oleh Panglima 5 Briged Brigadier General Zambery Darus kepada Jasle Malada, salah seorang penduduk Kampung Saab dalam Majlis Projek Jiwa Murni sempena Hari Tentera Darat Ke-88, baru-baru ini.
Menurut Samin, kos pembinaan semula rumah baharu menelan belanja sebanyak RM20 ribu masing-masing RM10 ribu sumbangan YADIM dan selebihnya infak daripada orang awam.
“Rumah tersebut dilengkapi dengan dua buah bilik, ruang tamu, dapur dan tandas memberi nafas baharu rentetan rumah terdahulu terlalu usang untuk didiami.
“Kriteria pemilihan golongan memerlukan bantuan adalah berdasarkan cadangan oleh Pejabat Daerah, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat dan YADIM melalui maklumat yang diperolehi semasa turun di lapangan.
Hadir sama, Pegawai Daerah Pitas Bakri Nanun, Pegawai Kemajuan Masyarakat Pitas Ariffin Matasin dan Pemimpin Kemajuan Masyarakat Ramlah Nasir.
-RI