Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Industri Benih Berpotensi untuk Diceburi – MAFI

By 26 Mac 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noriah Athan (Gombak)

RAWANG, 26 Mac (Malaysiaaktif) – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) berpandangan industri benih tanaman mempunyai potensi besar untuk dibangunkan seiring dengan perkembangan agro makanan di negara ini.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata sehingga kini negara hanya mampu mengeluarkan 10 peratus benih sahaja untuk kegunaan dalam negara dan selebihnya diimport dari luar negara.

“Maknanya kita masih mempunyai ruang yang besar untuk membangunkan industri benih di negara kita, industri ini perlu bergerak seiring dengan penanaman buah-buahan, komoditi, sayur-sayuran dan sebagainya.

“Apa juga yang kita tanam memerlukan benih yang berkualiti, sesuai dengan keadaan cuaca dan tanah di negara kita, ia merupakan satu komponen dalam industri agro makanan yang penting dan perlu dibangunkan,” katanya semasa sidang media selepas lawatan dan taklimat di Syarikat Green World Genetics Sdn Bhd, di sini hari ini.

Menurutnya, pihaknya berharap pihak swasta mengambil peluang berkenaan untuk bersama kerajaan dalam membangunkan industri berkenaan.

“Pihak swasta perlu menyahut cabaran membangunkan industri benih serta menjadikan ia sebagai satu industri yang memberi pulangan baik dari segi ekonomi.

“Industri ini juga mampu membuka peluang kepada anak-anak muda sebagai satu industri yang boleh mereka ceburi.

“MAFI juga sedang merancang untuk membentangkan rang undang-undang dalam sidang parlimen akan datang untuk mewujudkan suatu akta mengawal benih tanaman,” ujarnya.

Katanya, undang-undang tersebut meliputi kawalan benih dari segi pemprosesan, pengujian, penjualan, pengimportan, eksport dan memastikan kualiti benih yang dikeluarkan mencapai standard yang ditetapkan.

Dr Ronald Kiandee (tengah) bergambar selepas melawat Syarikat Green World Genetic Sdn Bhd yang menghasilkan benih tanamandi negara ini.

Dr Ronald Kiandee (tengah) bergambar selepas melawat Syarikat Green World Genetic Sdn Bhd yang menghasilkan benih tanaman di negara ini.

-RI

Tinggalkan komen anda