
Laporan/foto: Zaidi Jamin (Beluran)
BELURAN, 27 Mac (Malaysiaaktif) – Setiap warga emas bukan saja harus prihatin kepada kesihatan peribadi, sebaliknya digalak terus melakukan aktiviti harian secara aktif dan lebih penting terhindar dari sebarang wabak penyakit.
Pegawai Promosi Kesihatan Daerah Beluran, Mohamad Nor Taufik Asmadin berkata, jumlah warga emas di Malaysia sentiasa bertambah setiap tahun.
“Berpandukan takrifan yang dibuat di “World Assembly On Ageing 1982“, warga emas ditakrifkan kepada mereka yang berumur 60 tahun ke atas.
“Oleh itu, pemberian vaksin kepada golongan warga emas berumur 60 tahun ke atas dalam fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sangat tepat dan penting seiring dengan peranan dan sumbangan golongan ini kepada negara.
“Golongan warga emas di negeri ini bukan saja aset penting kepada negara sebaliknya golongan ini terbukti berperanan besar dalam mempengaruhi kelangsungan kepada pembangunan dan kesejahteraan negara.

Program Info Of Wheel (IOW) dan Kempen menggalakan masyarakat mendaftar melalui Aplikasi MySejahtera Fasa ke-Dua anjuran Jabatan Penerangan Daerah Beluran turut tertumpu khusus kepada golongan sasar.
“Justeru golongan ini perlu dilindungi seterusnya diberi peluang menerima vaksin COVID-19 bagi mematahkan rangkaian jangkitan seterusnya membentuk imuniti kelompok dalam masyarakat,” jelasnya dalam kempen menggalakkan masyarakat mendaftar di Pekan Beluran, di sini semalam.
Sehubungan itu setiap individu, keluarga dan masyarakat disaran terus mengambil pendekatan mengemaskini dan daftar melalui aplikasi MySejahtera.
“Yakinlah program Imunisasi COVID-19 ini amat penting dan suntikan vaksin COVID-19 adalah selamat.
“Kepada golongan muda mahupun dewasa, ambilah peluang bantu kaum keluarga berumur 60 tahun ke atas untuk mendaftar melalui aplikasi MySejahtera.
“Yang penting dapatkan maklumat yang tepat dari sumber yang sahih kerana dengan ini kita mampu meyakinkan diri untuk menerima vaksin sekaligus mampu melindungi individu dan komuniti sekitar kita daripada pandemik COVID-19 ini,” jelas Taufik.
-RI